Tiga filem mendapat kutipan tiket terendah sepanjang tahun 2023

 

Oleh Pena Merah

Tiga filem mendapat kutipan tiket terendah sepanjang tahun 2023
Mengikut maklumat FINAS, tiga filem yang mendapat kutipan tiket terendah sepanjang tahun lalu adalah filem Sazali Meor Coco, Vik2ria Secret dan filem Tamil, Kaaval: The Movie.

Ketika industri perfileman gah dengan kutipan box office dua naskhah ditayang tahun lalu, iaitu Polis Evo 3 dan Malbatt: Misi Bakara yang mengaut lebih RM80 juta, tiga filem tempatan rekod jualan tiket terburuk pada 2023, dengan purata pungutan kira-kira RM5,900 sepanjang tempoh tayangan.

Mengikut maklumat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), tiga filem yang mendapat kutipan tiket terendah sepanjang tahun lalu adalah filem Vik2ria Secret, Sazali Meor Coco dan filem Tamil, Kaaval: The Movie.



Semakan juga mendapati ketiga-tiga filem terbabit dibikin menggunakan dana kerajaan iaitu Dana Filem Cereka bernilai antara RM500,000 hingga RM800,000 dan Dana Pemasaran antara RM60,000 hingga RM90,000.

Menduduki senarai filem tercorot adalah Vik2ria Secret yang menjengah pawagam pada Jun tahun lalu. Naskhah yang mendapat sentuhan bintang legenda, AR Badul sebagai pengarah itu hanya mampu meraih kutipan RM5,058.90

Biarpun timbul pelbagai isu panas yang dilaporkan media membabitkan naskhah itu, antaranya Badul didakwa menjalin hubungan dengan heroin filem terbabit, Annie Ariffin, selain poster Vik2ria Secret yang dipertikai netizen, namun kontroversi itu tidak mampu mengumpan penonton ke pawagam.

Berikutan kutipan buruk itu, banyak pihak menganggap pemberian Dana Filem Cereka RM500,000 dan Dana Pemasaran RM90,000 untuk filem terbitan Sheunik Sdn Bhd itu sebagai membazir. Apatah lagi, naskhah yang membabitkan kos RM1.05 juta itu hanya merekodkan 346 penonton sepanjang tayangan.



Diadaptasi daripada drama bersiri disiarkan TV2, filem Kaaval: The Movie terbitan One Merge Sdn Bhd hanya mengaut RM5,645.10.

Biarpun mempertaruhkan genre aksi dengan memaparkan kesungguhan sekumpulan inspektor polis menumpaskan jenayah yang semakin meningkat di bandar, terutama membabitkan isu pemerdagangan manusia, namun, ia bukan jaminan naskhah terbabit meraih kutipan pecah panggung.

Diarahkan Nithin Renji Panicker dan R Lawrence, filem yang ditayangkan pada Jun tahun lalu itu mendapat bantuan Dana Filem Cereka sebanyak RM500,000 dan Dana Pemasaran sebanyak RM60,000.

Tuah nampaknya tidak berpihak kepada pelakon, Zizan Nin apabila filem pertama arahannya berjudul Sazali Meor Coco yang ditayangkan di pawagam, November tahun lalu, hanya mengutip RM6,990.35.



Naskhah bercorak komedi terbitan Aquila Emas Sdn Bhd itu mengisahkan tiga beradik iaitu Sazali, Coco dan Meor yang berhijrah ke bandar untuk menjadi bintang terkenal. Filem itu turut menerima Dana Filem Cereka berjumlah RM800,000.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bagaimanapun tidak melihat jumlah kutipan tiket rendah sebagai suatu kegagalan dalam industri perfileman tempatan.

Bersikap rasional terhadap senario dilihat, Azmir memahami kekangan dihadapi penerbit kerana kebanyakan filem dihasilkan selepas pandemik COVID-19.

“Kebanyakan filem yang ditayangkan tahun lalu adalah hasil bantuan kerajaan yang ingin merancakkan kembali industri perfileman tempatan yang suram selepas pandemik COVID-19.



“Saya faham ada sesetengah syarikat produksi tidak mempunyai bajet besar untuk merangka dari segi pemasaran dan promosi seperti dilakukan produksi gergasi. Mereka merangkumi produksi kecil, malah ada yang kali pertama buat filem.

“Mereka hadapi kekangan dari segi bajet untuk urusan promosi dan pemasaran, sedangkan kita tahu dua perkara itu amat penting untuk menjual filem. Kadang-kadang penonton tidak tahu pun bila filem terbabit masuk panggung.

“Penerbit sudah beri yang terbaik. Jadi, saya tidak mahu salahkan mereka apabila kutipan filem rendah.

“Kalau dalam 10 filem ditayangkan dan dua daripada naskhah terbabit mendapat kutipan bagus, itu sudah memadai buat kami sebagai pembuat dasar ini,” katanya kepada BH Online.



Tambah Azmir, jumlah kutipan tiket tidak seharusnya menjadi kayu pengukur kejayaan filem kerana ada faktor lain yang perlu diberi perhatian.

“Tidak dapat kutipan pecah panggung, tidak semestinya kita anggap filem itu gagal. Mungkin tarikh tayangan tidak kena dengan masa atau tema yang diketengah, tidak menepati cita rasa penonton.

“Selera penonton berbeza. Mungkin tidak berjaya di pawagam tempatan tetapi mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Contohnya, filem Imam, walaupun tidak dapat kutipan pecah panggung, tetapi mendapat pencalonan untuk festival filem di Tehran, Iran.



“Saya selalu ingatkan, kejayaan filem tidak harus diukur dari segi jumlah kutipan tiket semata-mata,” katanya.

Ditanya adakah penerbit yang mencatat jualan tiket buruk perlu membayar balik dana diberi, Azmir memberitahu, bayaran balik tidak kerana dana itu adalah geran daripada FINAS.

Bagaimanapun, tambahnya, dalam usaha penambahbaikan dan melonjakkan industri kreatif, FINAS akan mengkaji semula pemberian dana pemasaran kepada penerbit selepas melihat keberkesanannya.

“Kami akan kaji semula pemberian dana pemasaran kepada penerbit. Apa sahaja keputusan, kita serahkan kepada Kementerian Komunikasi untuk membuat penilaian.

“Mungkin selepas ini, kami lebih galakkan penerbit jalin perkongsian pintar dengan pelbagai pihak seperti syarikat produksi dan pengedar.

“Jika ada skrip yang bagus mungkin mereka boleh bekerjasama dengan produksi lain serta pawagam seperti GSC dan TGV untuk membantu dari segi pengedaran.

“Dengan cara itu, kami yakin penerbit akan berusaha menghasilkan skrip yang bagus dan secara tidak langsung, kebergantungan mereka terhadap dana FINAS berkurangan.” katanya.

Filem Polis Evo 3 catat kutipan RM50 juta dalam tempoh 24 hari ditayangkan tahun lalu.

Filem MALBATT: Misi Bakara pula merekod pungutan RM32.5 juta selepas lima minggu ditayangkan mulai 24 Ogos 2023.

-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button