Israel terus serang bandar Khan Younis

Oleh – Syeikh Baran


Israel terus serang bandar Khan Younis
TENTERA wanita Israel, dari unit infantri jantina campuran batalion Bardelas mengambil bahagian dalam latihan di sepanjang sempadan Israel-Mesir berhampiran Har Harif, timur bandar Israel, Selatan Mitzpe Ramon.-AFP

Israel berazam meneruskan serangan ke atas bandar Khan Younis di Gaza sebagai membalas dendam berikutan 24 tenteranya terbunuh dalam pertempuran bersama pejuang Hamas, kelmarin.

Berikutan itu, agensi kemanusiaan, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) melaporkan, tentera Israel mengeluarkan arahan baharu iaitu berpindah ke bahagian Khan Younis yang menempatkan kira-kira setengah juta penduduk dan mereka yang dipindahkan.



Arahan itu datang ketika Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa penduduk Gaza sedang menghadapi kebuluran.

Jurucakap Kanan Timur Tengah WFP, Abeer Etefa berkata, keadaan di Gaza semakin teruk.

“Lebih daripada setengah juta orang di Gaza menghadapi tahap bencana ketidakselamatan makanan dan risiko kebuluran meningkat setiap hari,” katanya.

OCHA berkata, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan berkenaan untuk segmen dalam empat kilometer persegi Khan Younis yang kini menempatkan kira-kira 513,000 orang serta hospital utama Nasser dan Al-Amal.



Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata, seramai 24 tentera Israel terbunuh pada Isnin lalu, 21 daripadanya merupakan anggota simpanan yang terkena bom tangan.

Jelasnya, nilai perang itu kini amat berat dan menyakitkan.

Malah, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, siasatan dilancarkan ke atas kejadian tersebut.

Sementara itu, penganalisis dari Universiti Ben-Gurion di Negev, Israela Oron berkata, kematian askar yang semakin meningkat, kini kepada 221 orang akan mendorong orang ramai untuk menuntut jawapan yang jelas tentang tujuan dan matlamat operasi ketenteraan di Gaza.



Menurut agensi berita rasmi Wafa, Pejabat Presiden Palestin, Mahmud Abbas turut amaran bahawa Israel berhasrat untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka, sekali gus membawa kepada akibat yang tidak diduga.

Peperangan di Gaza bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Sebagai tindak balas, Israel melakukan serangan tanpa henti yang telah membunuh sekurang-kurangnya 25,490 orang di Gaza, kira-kira 70 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

Peperangan menyebabkan kekurangan makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan di wilayah yang dikepung.



Di Kota Gaza yang musnah, penduduk yang dipindahkan, Umm Dahud al-Kafarna berkata, kempen Israel meninggalkan mereka tanpa apa-apa untuk dimakan atau diminum semasa mengebom kami dari udara, laut dan kereta kebal.

“Anak saudara saya mengalami kecederaan parah. Memang tragis… Semoga mereka mendapat belas kasihan dalam hati mereka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengecam penolakan berulang kali pegawai Israel terhadap gesaan untuk mewujudkan negara Palestin, malah, ia akan memanjangkan konflik selama-lamanya.

Sumber – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button