Pengurus salahkan pengadil
Oleh – Syeikh Baran
Pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann berkata, kesilapan pengadil telah menyebabkan pasukan terikat 3-3 dengan Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023.
Jurulatih kelahiran Jerman itu berkata, pengadil tidak sepatutnya memberikan sepakan penalti kepada Malaysia selain gol ketiga skuad kendalian Kim Pan Gon juga boleh dipertikaikan.
“Ada satu lagi gol juga tidak sepatutnya diberikan, namun ia sudah diberikan (gol ketiga Malaysia),” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan di Stadium Al Janoub itu, pemain gantian Romel Morales muncul wira Malaysia apabila meledak gol penyamaan pada minit-minit terakhir masa kecederaan.
Sebelum itu, dua gol Malaysia terhasil menerusi jaringan menarik Faisal Halim pada minit ke-51 dan sepakan penalti yang disempurnakan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-62.
Kejayaan mengikat gergasi Asia itu membolehkan Malaysia membawa pulang satu mata selepas tewas dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan iaitu tunduk 0-4 kepada Jordan dan tumbang 0-1 kepada Bahrain.
Gol Taeguk Warriors dalam perlawanan tersebut dihasilkan oleh Jeong Woo Yeong pada minit ke-21, Lee Kang In (M-83) dan dan Son Heung Min (M-94) menerusi sepakan penalti.-AGENSI
Sumber – UTUSAN