UTP jalin kerjasama perkasa bidang pemprosesan REE

Oleh – Syeikh Baran


UTP jalin kerjasama perkasa bidang pemprosesan REE
MOHAMED Ibrahim Abdul Mutalib (kiri) bertukar dokumen dengan Nik Abdul Mubin Nik Mahmood selepas menandatangani perjanjian kerjasama di hadapan Raja Muda Perak, Raja Ja’afar Raja Muda Musa.

Universiti Teknologi Petronas (UTP) bersama RXT Greensnow Synergy Sdn Bhd kongsi kepakaran serta teknologi masing-masing bagi penggalian dan pemprosesan unsur nadir bumi (REE).

Kerjasama tersebut disasar menawarkan penyelesaian terhadap cabaran dalam projek berkenaan termasuk pengasingan dan pembersihan REE sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan bahan mentah berharga itu di peringkat global.



Naib Canselor UTP, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dalam satu kenyataan berkata, kerjasama ditandatangani dengan RXT Greensnow Synergy itu disifatkan bertepatan dengan kedudukan universitinya di Perak sebagai negeri berpotensi tinggi.

“UTP terletak secara strategik di Perak iaitu sebuah negeri kaya dengan mineral dan REE bersifat menyerap ion yang mempunyai potensi ekonomi yang besar. Menyedari perkara tersebut, UTP dan RXT Greensnow Synergy akan mengetuai siri projek kerjasama.

“Perjanjian kerjasama itu adalah komitmen antara kedua-dua pihak berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing bersama rakan industri yang menumpukan usaha universiti ke arah pembangunan mapan di Perak dan negara ini,” katanya.

Semalam, UTP bersama RXT Greensnow Synergy menandatangani perjanjian kerjasama masing-masing diwakili Mohamed Ibrahim dan Pengarah Urusan, Datuk Nik Abdul Mubin Nik Mahmood yang disaksikan oleh Raja Muda Perak, Raja Ja’afar Raja Muda Musa.



Dalam pada itu, Mohamed Ibrahim memberitahu, selaras dengan usaha menangani cabaran dalam industri mineral di negara ini, UTP melalui Institut Pemulihan Hidrokarbon komited untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurutnya, R&D itu berkaitan teknologi pemprosesan minteral, penerokaan teknologi optimum dan penggalian REE yang mapan dan mesra alam.

“Peluang ekonomi sahaja tidak memadai, pembangunan mesti bersifat mesra alam dan mempunyai tanggungjawab sosial. UTP berada dalam laluan yang tepat untuk menjadi universiti bertaraf global yang mapan serta menyumbang kepada seluruh masyarakat menerusi pendidikan dan penyelidikan.

“UTP berharap, perjanjian itu membuka peluang lebih banyak kepada kerjasama dengan institusi lain berkaitan REE dan sumber mineral yang kritikal,” ujarnya.



Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button