Daim selesai bayar ikat jamin RM280,000
Oleh – Syeikh Baran
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin selesai membayar ikat jamin RM280,000 seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini.
Beliau yang berkerusi roda selesai membayar ikat jamin itu pada pukul 11.24 pagi yang ditemani isterinya Toh Puan Na’imah Khalid.
Terdahulu Daim, 86, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengisytiharan 70 aset hartanya.
Daim, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Daim didakwa telah dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut seksyen 36(2) Akta SPRM (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.
Sumber – KOSMO! ONLINE