Jangan takut jika isteri dah berduit – Reen Rahim
Oleh Pena Merah
Pelakon, Reen Rahim, 36, berpandangan, golongan lelaki terutamanya suami tidak perlu berasa tergugat dengan kejayaan isteri meskipun berkemungkinan berdepan dengan perubahan sikap pada suri hati mereka.
Menurut Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim, dia percaya, kebiasaannya golongan wanita yang berjaya tidak pernah melupakan tanggungjawab mereka dalam usaha membantu keluarga.
“Wahai para suami di luar sana, isteri awak semua ada kehebatan mereka yang sebenarnya. Suami sahaja yang mampu keluarkan kehebatan dia. Jadi, jangan takut jika isteri apabila mereka dah berduit, jadi lupa diri dan berlagak.
“Sebab kami bagi balik 100 kali ganda apa yang kami dapat daripada suami. Kalau para suami jaga kami dengan elok maka eloklah yang anda semua dapat. Kalau awak ke laut, maka itulah yang awak dapat,”katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.
Selain itu, kata pelakon filem Syif Malam Raya dan drama Pujaan Hati Kanda ini, dia juga percaya seandainya seseorang wanita itu mampu meraih pendapatan sendiri, golongan suami juga tidak perlu runsing.
“Iyalah, bukankah isteri cerminan suami. Kalau isteri ada pendapatan sendiri, awak pun tak akan pening. Silap-silap dia yang tolong bantu apa yang patut.
“Itu menurut sayalah, kalau salah minta maaf,”katanya.
Dalam pada itu, kongsi Reen, dia bersyukur kerana sejak berkahwin, suaminya, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, banyak memberi dorongan dalam menguruskan kerjaya seni dan bidang perniagaan yang diceburi.
Katanya, dia juga mula fokus semula dalam bidang perniagaan sewaktu awal mendirikan rumah tangga dengan Hazim.
“Dialah yang menghadap segala tsunami lintang pukang emosi saya. Terima kasih suami,”katanya.
Untuk info, Reen mendirikan rumah tangga dengan Hazim pada tanggal 24 Disember 2022 setelah mengikat pertunangan sejak Ogos tahun yang sama.
-Utusan-