Awal Ashaari berputih mata di Milan
Oleh Pena Merah
Pengacara, Awal Ashaari, 42, mendedahkan, dia dan isteri, Scha Alyahya akur berputih mata apabila barangan kemas termasuk cincin perkahwinan mereka lesap dicuri orang ketika berada di Milan, Itali, dua tahun lalu.
Menurut Awal, ketika kejadian, kesemua aksesori dengan pelbagai jenama mewah itu berada dalam satu bagasi sewaktu mereka berada di lapangan terbang.
“Ketika kami melancong, kami pernah kehilangan banyak barangan peribadi. Masa itu memang kami gigit jari. Benda itu terlalu pahit dan sakit untuk kami.
“Kerugian kami terlalu banyak sebab kami kehilangan barangan sentimental seperti cincin kahwin, jam sempena ulang tahun, hari jadi dan sebagainya.
“Saya dan Scha, bila sambutan ulang tahun perkahwinan kami suka bagi barang seperti saya bagi dia jam, cincin, gelang dan sebagainya.
“Iyalah benda yang ada nilai sentimental, semuanya hilang. Ia terjadi dua tahun lepas, kerugiannya sangat besar, tidak terhingga. Kami sampai satu tahap bila pandang antara satu sama lain, kami boleh nangis,” katanya.
Awal berkata, dalam pada dia menjaga bagasi itu dengan teliti, dia tidak menyangka bagasi itu dapat dicuri ketika dia sedang menjamu selera di sebuah kafe di Milan.
“Bila kami dapat pergi melancong selepas pandemik COVID-19, kami jadi teruja jadi kami bawa semua sebab nak pergi ‘fashion week’, jadi kami mahu pakai semua. Barangan kemas yang kami bawa pula berjenama, misalnya kalau kami pergi acara Cartier, kami mahu pakai Cartier.
“Jadi kami bawa semua koleksi kami dalam satu bagasi dan bagasi itu yang hilang. Kami kalau melancong kami bawa banyak bagasi, sekali melancong kami bawa lebih lapan sehingga 10 bag. Saya pula letak semua barangan peribadi itu dalam satu beg, saya letak beg itu di sebelah saya saja ketika itu saya di kafe di Milan.
“Saya tengah hirup kopi, pandang balik tengok beg itu sudah tiada. Dia (pencuri) macam tahu kenapa beg itu sentiasa dekat dengan saya, jadi pencuri itu sasarkan beg itu,” katanya.
Tambah Awal, dia tidak boleh membuat laporan polis kerana tidak mempunyai bukti dan dalam masa sama perlu menaiki kereta api ke Paris untuk ke acara seterusnya.
“Saya tak boleh buat laporan polis pun sebab tiada insurans, bukti dan sebagainya sebab di sana nak periksa CCTV pun tiada siapa nak layan.
“Ia terjadi 10 minit sebelum kereta api terakhir dari Milan ke Paris, kalau tertinggal kami akan terlepas acara esoknya. Jadi dia tahu masa yang sesuai, kami nak buat laporan pun tak boleh sebab kereta api itu sudah tunggu,” katanya.
Berikutan itu, bapa kepada Lara Alana, 10, dan Lyla Aminaa, 3 itu berkata dia dan Scha sangat berhati-hati dan tidak membawa barangan berharga ketika melancong ke luar negara.
“Jangan bawa barangan peribadi yang berharga atau jangan simpan semua barangan dalam satu beg. Menangis nanti,” katanya.
-Utusan-