Rogol : Sarjan polis ditambah reman sehari
Oleh Pena Merah
Tempoh tahanan reman anggota polis berpangkat sarjan yang dipercayai terlibat kes rogol remaja perempuan 16 tahun dalam kejadian di Seri Iskandar tahun lalu, disambung sehari lagi.
Permohonan reman terhadap suspek dibuat selepas tempoh reman selama empat hari bermula Ahad lalu ke atas lelaki berusia 42 tahun itu berakhir hari ini.
Terdahulu, suspek yang memakai baju berwarna hitam tiba di Mahkamah Majistret Parit dengan menaiki kereta peronda (MPV) pada pukul 8.50 pagi sebelum keluar sejam kemudian.
Media sebelum ini melaporkan berkaitan seorang remaja perempuan tingkatan empat yang mendakwa menjadi mangsa rogol anggota polis berpangkat sarjan berusia 42 tahun.
Perbuatan suspek itu terbongkar selepas mangsa yang masih bersekolah itu memaklumkan kejadian itu kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di dalam kereta di hadapan balai polis dan di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah pasar raya di Seri Iskandar pada Julai dan Oktober, tahun lalu.
-Utusan-