Iran layak ke suku akhir
Oleh Pena Merah
Juara tiga kali, Iran mengungguli penentuan penalti sebelum menyingkirkan Syria pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Asia di Stadium Abdullah Bin Khalifa.
Iran yang terpaksa mengharungi masa tambahan 30 minit dengan 10 pemain, menang 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1, yang menyaksikan dua gol dalam masa permainan sebenar terhasil menerusi penalti.
Mehdi Taremi yang dilayangkan kad merah pada masa tambahan separuh masa kedua, memastikan Team Melli mendahului pada babak pertama sebelum Syria menyamakan kedudukan menerusi Omar Khrbin pada separuh masa kedua.
Pada penentuan penalti, sepakan kedua Syria yang diambil Fahd Youssef berjaya diselamatkan Alireza Beiranvand sebelum kapten Iran, Ehsan Hajisafi menjaringkan penalti kemenangan untuk mengesahkan kemaraan skuad bimbingan Ardeshir Ghalehnoy ke suku akhir.
Terdahulu, penyudah tumpul dan kecekapan penjaga gol Syria Ahmad Madanieh menyaksikan Iran terpaksa menunggu sehingga minit ke-34 untuk memecah kebuntuan menerusi penalti.
Taremi menyempurnakan penalti yang diberikan pengadil Kim Jong-hyeok dari Korea Selatan selepas dia dikasari Aiham Hanz Ousou sekali gus menjaringkan gol ketiganya pada kempen kali ini.
Hasrat Taremi meledak gol peribadi kedua tidak kesampaian selepas Madanieh menyelamatkan rembatannya pada minit ke-43 sebelum penjaga gol berusia 34 tahun itu sekali lagi menafikan peluang gol skuad bimbingan Ardeshir Ghalehnoy menerusi tandukan Ibrahim Hesar dua minit kemudian.
Syria kendalian Hector Cuper yang julung kali beraksi di pusingan 16 terbaik, berjaya menyamakan kedudukan apabila Khrbin tenang menyudahkan penalti pada minit ke-64 selepas pemain gantian Pablo Sabbag dikasari Beiranvand.
Iran terus dihantui ketangkasan Madanieh yang kekal kebal di gawang apabila menafikan empat percubaan tepat masing-masing menerusi tendangan Alireza Jahanbakhsh, Ali Gholizadeh dan rembatan serta tandukan Sardar Azmoun menuju penghujung perlawanan.
Memasuki masa tambahan 10 minit babak kedua, Iran ditimpa malang selepas terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Taremi mengutip kad kuning kedua kerana menjatuhkan Alaa Aldin Yasin Dali sekali gus dilayangkan kad merah.
Namun situasi itu tidak menjejaskan disiplin bertahan Iran dalam mengharungi 30 minit masa tambahan untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Kelima-lima penalti Iran disempurnakan Karim Ansarifard, Ramin Rezaeian, Omid Ebrahimi, Mahdi Torabi dan Hajisafi manakala tiga penalti Syria disudahkan dengan baik Sabbag, Ousou dan Dali.
Iran akan membuat perhitungan dengan juara empat kali Jepun pada pentas suku akhir di Stadium Education City, Sabtu ini.
-BERNAMA-