Konsert Milenia 2024 akhirnya direalisasikan

 

Oleh Pena Merah

Konsert Milenia 2024 akhirnya direalisasikan
Barisan penyanyi Malaysia dan Indonesia yang menghangatkan Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Selepas tiga kali ditunda, acara dangdut menggabungkan penyanyi Malaysia dan Indonesia, Konsert Milenia 2024 akhirnya direalisasikan di Zepp Kuala Lumpur di ibu negara, Ahad lalu.

Bukan sedikit cabaran dihadapi Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob untuk menjayakan konsert itu seperti kesukaran mendapatkan permit, selain pelbagai perkara berbangkit yang menyebabkan projek tertunda tiga kali.



“Pastinya ramai tahu untuk menganjurkan konsert sebegini bukanlah perkara mudah direalisasikan. Tetapi saya lihat rata-rata peminat yang datang sangat seronok.

“Untuk konsert ini, saya buat sedikit revolusi dengan menggabungkan pelbagai elemen dengan mengikut perkembangan semasa,” katanya ditemui sebaik konsert itu berakhir.

Jeffri mengakui kekangan utama untuk menganjurkan konsert dangdut adalah bagi mendapatkan kelulusan, biarpun sudah mengeluarkan wang pendahuluan untuk tempahan lokasi acara dan artis yang membuat persembahan.

“Antara dihadapi adalah kesukaran mendapatkan permit. Bagaimanapun, saya faham itu perkara biasa dalam bidang ini.



“Apabila terlalu lambat dapat permit, kami sebagai penganjur berdepan masalah untuk meyakinkan peminat.

“Kami sudah mengeluarkan wang mendapatkan artis dan menempah lokasi penganjuran konsert, jadi, itu antara masalah utama yang dihadapi.

“Mungkin disebabkan konsert dangdut seumpama ini baharu, jadi agak sukar untuk diterima masyarakat.

“Justeru, sebagai penganjur ada beberapa perkara lagi yang perlu ditambah baik dari segi tatakelola kami,” katanya.



 

Baby Shima turut berduet bersama penyanyi Indonesia, Thomas Arya.

Bagaimanapun, Jeffri bersyukur apabila konsert yang sepatutnya dilaksanakan akhir tahun lalu mendapat kelulusan pihak berwajib.

“Saya bersyukur akhirnya konsert ini berjaya dilaksanakan selepas berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Sebelum ini, Konsert Milenia yang dijadual berlangsung pada 25 November lalu ditangguhkan bagi menghormati situasi perit dialami rakyat Palestin akibat serangan Israel.



Pada Konsert Milenia 2024, kolaborasi antara penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia memberi pengalaman mengujakan buat lebih 1,000 peminat.

Konsert lebih dua jam itu seolah-olah tidak cukup untuk peminat tegar dangdut terus bergelek selepas sekian lama tidak dapat menyaksikan persembahan penyanyi pujaan masing-masing.

Dengan menampilkan penyanyi dari Malaysia iaitu Amelina, Mas Idayu, Baby Shima dan Ani Mayuni serta penyanyi Indonesia seperti Rheyna Morena, Hesty Klepek dan Thomas Arya, Konsert Milenia 2024 memberi pengalaman berbeza.

Antara lagu dangdut popular dipersembahkan adalah Cintaku 100% nyanyian Mas Idayu, Dasar Buaya Cinta (Ani), Seperti Mati Lampu (Rheyna), Cintaku Klepek Klepek (Hesty), Memori Daun Pisang (Amelina) dan Pura-Pura Bujang (Baby Shima).



Thomas tampil membuat persembahan penutup menyampaikan lagu hit dendangannya, Berbeza Kasta dan Bunga.

Konsert Milenia 2024 menampilkan Along Cham dan Angah Raja Lawak sebagai hos yang berjaya menceriakan suasana.

-Berita Harian-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button