Disamun, dikurung lepas berjudi

Oleh – Syeikh Baran


Disamun, dikurung lepas berjudi
Foto Hiasan

Seorang wartawan lelaki warga China disamun dan dikurung oleh beberapa lelaki tempatan di sebuah taman perumahan, di sini, selepas bermain kasino di sebuah hotel di Pahang pada 11 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pengadu berusia 40 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian pada pukul 4.32 pagi, 2 Januari lalu.

Katanya, pada 11 Disember lalu, pengadu didatangi tiga lelaki tempatan yang menawarkan untuk bermain kasino VIP di sebuah hotel terbabit.



“Lelaki tersebut menawarkan kepada pengadu untuk mengambil cip tunai bernilai RM100,000 dan pengadu setuju untuk bermain.

“Seterusnya, setelah pengadu mengalami kekalahan, pihak peminjam meminta pengadu untuk membayar semula hampir RM200,000 dan pengadu telah membayarnya melalui transaksi dalam talian bank dari China.

“Selepas daripada kejadian, pengadu diminta untuk pindahkan RM150,000 lagi tetapi pengadu enggan untuk membayar kerana pengadu mengesyaki telah ditipu dan diperdaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, pengadu dijemput suspek untuk pergi makan malam namun dibawa ke satu kebun durian yang terletak tidak jauh dari hotel itu sebelum merampas barang-barang peribadi dan memukul mangsa.



“Mangsa terus dibawa ke kawasan salah sebuah taman perumahan sekitar Kajang seterusnya, dikurung, diikat dan dipukul oleh beberapa lelaki tempatan yang tidak dikenali dalam pondok pengawal keselamatan berhampiran.

“Bagaimanapun, wartawan itu berjaya melepaskan diri pada pukul 2.30 pagi, 2 Januari lalu dan terus ke Balai Polis Kajang dengan bantuan orang awam.

“Ekoran dari laporan polis tersebut, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Bertindak atas maklumat, pasukan Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menahan tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 53 tahun beserta sebuah kenderaan dan tiga buah telefon bimbit pada 11 malam, 31 Januari lalu.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan mengaku ada meminta wang daripada pengadu.

Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari mulai hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474,” katanya.

Sumber -KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker