Allah sudah susun rezeki, bezanya cepat atau lambat sahaja
Oleh Pena Merah
Di sebalik tepukan gemuruh dan sorakan kegembiraan penonton yang kedengaran saat namanya diumumkan sebagai pemenang trofi Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, tahun lalu, ada juga segelintir pihak tidak menyenangi kejayaan diraihnya itu.
“Program perlu dikendalikan bersama, jadi jangan ‘shaking’ atau rasa tergugat dengan kehadiran saya.
“Kita ada sesi baca skrip, jadi gunakan ruang ini untuk duduk berbincang. Tak perlu nak syok sendiri hingga menganiaya orang lain,” luah Elly atau lebih akrab disapa Kak Lina Pom Pom kepada BH Online.
Menyifatkan pengalaman mengacarakan program realiti, Big Stage 2023 bersama Rina Nose sebagai momen terbaik, pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu percaya keikhlasan dalam menjalankan tugas mampu mencipta keserasian, sekali gus menjadikan program yang dikendalikan itu berjaya.
“Allah sudah susun rezeki, bezanya cepat atau lambat sahaja. Masa kerja dengan Rina Nose, saya anggap kami berjaya. Ini kerana keikhlasan kami ketika bekerja, selain menyedari ia adalah tanggungjawab bersama.
“Tak kuasalah nak gaduh soal rezeki. Malulah bila sesama Islam bergaduh kerana rezeki. Saya akan tarik diri kalau nak gaduh soal ini.
“Itu periuk nasi, kalau boleh saya nak kerja lama dan dalam keadaan tenang,” ungkap penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu.
Mengulas pernahkah berdepan dengan situasi dipulaukan hanya kerana tegar mempertahankan prinsip diri, pelakon drama rantaian Kampung People itu enggan melayan perkara negatif yang boleh menjejaskan emosinya.
“Saya senang sahaja, kalau sesiapa yang nak berkawan, silakan. Saya akan sentiasa berbuat baik dan tiada masa nak menilai orang lain.
“Siapa datang dengan baik, saya sambut. Kalau ada yang lalu, tapi tak nak pandang, saya okay sahaja.
“Walau kadang-kadang aura negatif datang, saya akan tutup dan elak. Saya sentiasa ingatkan diri untuk pergi kepada yang sayang, mana yang tak sudi atau tak mendatangkan manfaat, saya abaikan serta lepaskan sahaja.
“Demi ketenangan dan kebahagiaan diri, saya akan terus bersangka baik. Saya juga akan berikan yang terbaik dalam kerja. Tak ada masa nak fikir benda-benda sampah,” ujar Elly.
Pada 18 Januari lalu, genap empat tahun artis serba boleh ini melayari bahtera perkahwinannya dengan suami tercinta, Mohamad Azlan Che Nuh.
Berkongsi perasaan, Elly meluahkan rasa syukur dikurniakan pasangan yang bukan sahaja penyayang, tetapi memberi kebahagiaan buatnya.
“Saya bersyukur dapat suami yang sangat baik dan mampu membahagiakan kami selama empat tahun hidup bersama. Dia sentiasa ada bersama ketika susah dan senang.
“Terima kasih memahami diri ini dan bantu jaga anak-anak ketika saya keluar bekerja. Disebabkan itu, saya cuba aturkan jadual supaya dapat luangkan lebih masa dengan suami dan anak-anak, tahun ini.
“Lagipun, saya tak lama dalam industri seni ini. Sampai masa, saya akan habiskan sisa-sisa hidup bersama suami dan keluarga jika diizinkan,” kata Elly dalam nada sebak.
Selepas sekian lama menanti, Elly sudah mampu menarik nafas lega apabila single Sayap dinantikan selama ini akhirnya berjaya menemui peminat di semua pelantar digital.
Selain kepuasan diri, Elly turut mengakui pembikinan single Sayap untuk memberitahu generasi baharu yang kerjaya seninya bermula dalam bidang nyanyian, bukan lakonan atau pengacaraan.
“Sebenarnya ramai generasi baharu tak tahu saya seorang penyanyi. Mereka sangka saya hanya pengacara dan pelakon. Kiranya single Sayap ini untuk beritahu mereka bahawa saya adalah penyanyi.
“Lagipun, lama juga saya tak muncul dengan single baharu. Bimbang peminat lupa yang saya masih menyanyi.
“Single Sayap ini ciptaan tiga komposer nama besar iaitu Naim Daniel, Omar K dan Iqie Hugh.
“Rasa bertuah dapat bekerjasama dengan komposer muda. Walaupun susunan muziknya ada elemen terkini, tapi konsep merintih tetap dikekalkan kerana itu adalah ‘tanda dagang’ saya,” ujarnya.
Sebelum ini, Elly pernah mendedahkan keputusan mengundurkan diri sebagai pengacara program realiti, All Stars Gegar Vaganza (ASGV) kerana ingin memberi laluan orang lain bekerja dengan lebih selesa.
Elly bakal kembali ke lokasi penggambaran bagi membintangi telefilem untuk tayangan Aidilfitri selepas tiga tahun tidak berlakon.
-Berita Harian-