‘Fathia mungkin tersilap, maafkan dan doakan dia’

Oleh – Syeikh Baran


'Fathia mungkin tersilap, maafkan dan doakan dia'
Heliza memilih bersangka baik terhadap Fathia kerana percaya setiap insan pasti diuji dalam kehidupan mereka

Pengacara program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O (NLKO), Datin Seri Nur Heliza Helmi, 38, mendedahkan suaminya, Datuk Seri Mahadi Zaman tidak memiliki perniagaan dalam industri perumahan seperti didakwa pelakon kontroversi, Fathia Latiff.

Jika suaminya memiliki bisnes perumahan, kata Heliza, sudah lama dirinya membeli kediaman daripada syarikat milik suaminya itu.



Malah, ujar Heliza, suaminya juga tidak pernah mengenali pelakon wanita itu kerana tidak arif berkaitan dunia seni.

“Suami tak tahu siapa Fathia dan mereka tidak pernah berjumpa, jadi sayalah yang terpaksa menjelaskan kepada suami.

“Alhamdulillah, kami tak terkesan dengan dakwaan berkenaan kerana menganggap dia mungkin terkhilaf.

“Biasalah bila sedang ‘live’ kadang-kala kita tak sedar apa yang terkeluar daripada mulut.



“Saya rasa satu Malaysia sudah faham bila Fathia keluarkan kenyataan sedemikian. Tanpa saya keluarkan apa-apa kenyataan satu Malaysia Allah sudah bagi faham,” katanya yang ditemui pada majlis pengumuman hos baharu NLKO, baru-baru ini.
 

Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim kelima itu berkata, dia dan suami tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang ke atas Fathia, sebaliknya memilih memaafkannya.

Ini kerana katanya, dia percaya Fathia melakukan kekhilafan.

Katanya, dia memilih untuk bersangka baik kerana percaya setiap insan pasti diuji dalam kehidupan mereka.

'Fathia mungkin tersilap, maafkan dan doakan dia'
Heliza bersama barisan hos program NLKO, baru-baru ini. – NSTP/Aziah Azmee

“Mungkin ini masa Fathia diberikan ujian Allah, apa yang diperlukan daripada kita adalah doa.



“Kerana doa adalah senjata orang mukmin. Saya yakin Fathia seorang orang yang baik, tapi mungkin tak sedar perbuatannya.

“Tapi, apa yang dikatakannya itu memang sedikit pun tidak benar. Apa yang terbaik adalah mendoakannya dan kita sendiri perlu menjaga lisan serta pergerakan anggota badan.

“Jangan perasan bagus dan betul sehingga keluarnya ayat seolah-olah kita yang terbaik. Ini adalah zaman fitnah, jadi berdiam lebih baik,” katanya.

Terdahulu, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Ariana Rose mendakwa suami Heliza sebagai penipu apabila gagal menyiapkan kediaman yang dibeli sejak lima tahun lalu.



Fathia mendakwa, dia perlu membayar ansuran bulanan RM5,000, namun premis dijanjikan siap tahun lalu masih tidak nampak bayang.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button