Tony Pua sila buat permohonan maaf – Wan Rosdy

 

Oleh Pena Merah

Tony Pua sila buat permohonan maaf - Wan Rosdy
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) mendesak Tony Pua membuat permohonan maaf serta memadam semua hantaran atau berdepan tindakan undang-undang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendesak Tony Pua membuat permohonan maaf serta memadam semua hantaran atau berdepan tindakan undang-undang susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan tempoh hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, dalam keadaan UMNO bersedih, tindakan Tony yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP mengeluarkan kenyataan biadab menerusi beberapa hantaran di Facebook dengan memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib, jelas sekali menghina sistem perundangan negara.



“Tindakan beliau ini juga seolah-oleh cuba meraih publisiti murahan bila mana diri beliau dilihat sudah tidak lagi mendapat sokongan rakyat termasuk ditolak ahli partinya sendiri dan semakin menuju kepada pengakhiran karier politiknya.

“Oleh yang demikian, saya mendesak Tony membuat permohonan maaf serta memadam semua hantarannya itu atau tindakan undang-undang boleh dikenakan,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Mengenai keputusan Lembaga Pengampunan terhadap permohonan Najib itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang dan seluruh ahli UMNO bersedih dan terkesan dengan keputusan berkenaan.



“Bagaimanapun kita tetap menghormati keputusan tersebut meskipun hasrat untuk melihat bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan penuh tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Kelmarin, Tony yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya memuat naik beberapa hantaran di Facebook selepas keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.

Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.



-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button