LTAT tempelak kenyataan ‘pengunduran’ Ahmad Nazim
Oleh – Syeikh Baran
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menempelak dakwaan kononnya pengunduran Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman sebelum ini disebabkan penstrukturan semula Boustead Holdings Bhd.
LTAT dalam satu kenyataan memaklumkan, dakwaan itu tidak tepat kerana pada masa ini masih tiada keputusan akhir (tentang pengunduran Ahmad Nazim) dibuat.
Menurut kenyataan itu, perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan.
“LTAT melihat perkara ini sebagai keputusan struktur dan pelaburan yang akan menjalani pelbagai proses dalaman dan luaran untuk memastikan ia dilakukan demi kepentingan terbaik pencarumnya.
“LTAT akan pastikan kemampanan dana jangka panjang selain terus meneroka semua pilihan pelaburan termasuk badan kawal selia dan Kementerian Pertahanan, seperti yang diamanatkan oleh Akta Tabung Angkatan Tentera (Akta 101),” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Pada 2 Februari lalu, media melaporkan LTAT mengumumkan peletakan jawatan serta-merta Ahmad Nazim sebagai ketua eksekutif, hanya lebih sebulan selepas laporan penstrukturan semula yang dirancang telah ditangguhkan berikutan pertukaran tampuk pimpinan Kementerian Pertahanan.
Kenyataan itu memaklumkan, LTAT akan terus meningkatkan portfolio pelaburannya dan untuk mencapai matlamat tersebut, ia secara konsisten mengambil kira manfaat serta impak yang lebih luas.
Tambahnya lagi, kemajuan ketara telah dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti prestasi kewangan tahunan yang bertambah baik.
“Pemulihan dividen ke tahap mampan juga mampu memberi manfaat secara langsung kepada pencarum,” jelasnya.
Justeru, menurut LTAT, penstrukturan semula Boustead Holdings Berhad merupakan komponen Pelan Strategik LTAT 2023-2025 (MAMPAN25) yang lebih besar dengan pelbagai inisiatif bebas lain masih diteruskan.
Katanya, keputusan pelaburan LTAT telah melalui prosedur yang mantap termasuk pelbagai proses kelulusan oleh jawatankuasa dan panel pelaburan serta lembaga pengarah.
“LTAT disokong oleh rangka kerja peruntukan aset strategik dan disokong oleh pelbagai dasar pelaburan serta garis panduan.
“Ia bagi memastikan portfolio pelaburan yang sihat berbanding dengan profil pulangan risiko,” ujarnya.
Sumber – SINAR HARIAN