Singapura lulus undang-undang penjara pesalah seks `berbahaya’ selama-lamanya

Oleh – Syeikh Baran


Singapura lulus undang-undang penjara pesalah seks `berbahaya' selama-lamanya
Parlimen Singapura hari ini meluluskan undang-undang yang boleh memenjarakan pesalah seks `berbahaya’ dan penjenayah ganas selama-lamanya. – Foto ihsan South China Morning Post

Parlimen Singapura hari ini meluluskan undang-undang yang boleh memenjarakan pesalah seks `berbahaya’ dan penjenayah ganas selama-lamanya.

`Hukuman untuk Perlindungan Awam yang Dipertingkatkan’ (SEPP) itu bertujuan mengekalkan banduan menunjukkan tanda mereka mungkin melakukan kesalahan itu semula, walaupun selepas tempoh penjara berakhir.

Undang-undang itu akan terpakai kepada pesalah yang disabitkan dengan kesalahan keganasan atau seksual yang serius seperti menyebabkan kematian dengan sengaja, rogol dan seks dengan kanak-kanak bawah umur.



Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam memberitahu Parlimen, `dengan SEPP, boleh ada pendekatan yang lebih ditentu ukur untuk melindungi masyarakat dengan lebih baik’.

Singapura mempunyai undang-undang yang ketat walaupun untuk kesalahan kecil seperti vandalisme yang boleh dihukum rotan.

Berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia mempunyai kadar pembunuhan hanya 0.2 bagi setiap 100,000 penduduk, antara yang terendah di dunia.

Setiausaha Parlimen Kanan Undang-undang, Rahayu Mahzam berkata mahkamah akan menentukan sama ada SEPP akan dikenakan ke atas pesalah.



“Mahkamah boleh memutuskan untuk tidak mengenakan SEPP jika berpendapat bahawa hukuman penjara biasa adalah lebih sesuai,” katanya.

Dalam kes di mana SEPP dianggap sesuai, `kemungkinan pesalah boleh ditahan melepasi tempoh minimum adalah sebahagian daripada hukuman yang dijatuhkan hakim’, katanya.

Pesalah berisiko tinggi hanya akan dibebaskan jika menteri dalam negeri menilai mereka tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang ramai.

Mengikut undang-undang SEPP, menteri itu akan mempunyai lembaga semakan yang terdiri daripada pakar, seperti hakim bersara dan pakar psikiatri.

Kementerian undang-undang dan hal ehwal dalam negeri, dalam satu kenyataan bersama pada bulan lalu, berkata perubahan itu diperlukan kerana amalan hukuman semasa `tidak memadai untuk menangani kesalahan besar itu’ – AFP

Sumber – BERITA HARIAN 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker