Selangor ‘juara’ jenayah seksual

Oleh – Syeikh Baran


Selangor ‘juara’ jenayah seksual
Gambar Hiasan

Selangor menjadi negeri paling tinggi kadar jenayah seksual termasuk berkaitan kes rogol dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Perkara itu didedahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.



Menurut Siti Kamsiah, perkara itu didorong oleh jumlah kepadatan penduduk dan perkembangan ekonomi yang tinggi di negeri tersebut.

Katanya, Selangor juga mempunyai populasi penduduk yang berdekatan dengan sempadan negeri lain seperti Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak.

“Selangor merupakan negeri maju dan capaian internetnya mudah selain banyak fasiliti termasuk ada kes berlaku di universiti.

“Jadi, banyak akses menyumbang kepada perlakuan jenayah seksual tersebut. Selangor adalah negeri tertinggi (kes jenayah seksual) dan diikuti dengan Johor,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.



Siti Kamsiah bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci mengenai jumlah kes yang dilaporkan di Selangor.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kira-kira 90 peratus pelaku kes jenayah seksual dikenali oleh mangsa sama ada melibatkan ahli keluarga, rakan-rakan dan orang yang diberikan amanah seperti guru.

Dalam perkembangan lain, Siti Kamsiah menegaskan banyak kes jenayah seksual berlaku di negara ini adalah dalam kalangan B40 susulan tekanan ekonomi dan persekitaran rumah yang tidak kondusif.

Sumber – KOSMO!ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button