Sanusi cadang SPRM ambil alih KDA FC

Oleh – Syeikh Baran


Sanusi cadang SPRM ambil alih KDA FC

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini secara sinis meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil alih pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC.



Kata beliau, ‘gangguan’ dilakukan SPRM dengan melakukan siasatan dan tangkapan ke atas beberapa individu termasuk CEO Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kononnya terlibat rasuah turut menjejaskan KDA FC.

“Saya cadang SPRM ambil pasukan bola sebab pandai sangat pi siasat, tuduh dan tangkap sana sini. Hangpa pandai pergi tadbir pasukan bola dan bayar gaji, bolehkah?

“Bila kita dah buat elok, saya ambil empat tahun dahulu boleh bayar hutang tapi dok kacau macam itu, rosak habis semua. Jadi akibatkan tak boleh bayar gaji,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden KFA berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tunggakan gaji dihadapi pemain dan pengurusan KDA FC.



Muhammad Sanusi pada pada masa sama yakin jika KDA FC terus dilanda masalah, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan kehilangan pasukan tersebut untuk musim depan bermula Mei ini.

“Ia sebab hangpa kacau, sukan tak boleh kacau macam itu. Apabila kacau seolah-olah keadaan buruk, maka pasukan bola pun terima nasib dan padahnya,” ujarnya.

Ujarnya, tuduhan yang dilakukan ke atas KFA sebelum ini akan turut terpalit kepada KDA FC.

“Orang bukan faham KDA FC dan KFA, mereka tahu pasukan bola sahaja. Bila dibuat tangkapan, dituduh ada rasuah padahal tidak ada maka penaja-penaja KDA FC pun lari,” jelasnya.



Mengulas mengenai tunggakan gaji dihadapi pemain dan pengurusan KDA FC, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak boleh mencampuri urusan kelab itu kerana ia telah diswastakan dan menjadi sebuah syarikat.

Namun, beliau dimaklumkan pengurusan KDA FC sedang berusaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji tersebut serta berharap ia dapat diselesaikan segera.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button