Dividen Tabung Haji dijangka umum April
Oleh – Syeikh Baran

Pengumuman dan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2023 dijangka pada April ini iaitu setelah audit penuh dijalankan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan teguran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini agar audit dijalankan sebelum agihan dividen.
“Sekarang adalah masa pengauditan dijalankan, jadi insya-ALLAH menjelang April nanti kita akan umumkan berapa dividennya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi asnaf di sini malam ini.
Ditanya jika agihan pada tahun ini akan membawa khabar gembira kepada pendeposit, Na’im meluahkan harapan supaya pihak pengurusan tertinggi TH dapat mencari jalan terbaik bagi mengimbangi pemberian dividen yang munasabah tanpa menjejaskan bantuan kewangan kepada jemaah haji dalam golongan B40 dan M40.
Sebelum ini, TH mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada lebih 8.7 juta pendeposit. – Bernama
Sumber – SINAR HARIAN