Maut rempuh kereta peronda Plus
Oleh – Syeikh Baran

Seorang tukang paip maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh kenderaan peronda milik Plus Malaysia Berhad (Plus) di Kilometer 218.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran Alor Gajah di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Melaka.
“Sebelum kejadian sebuah kenderaan peronda Plus jenis Toyota Hilux sedang berhenti di lorong kecemasan dari arah Plaza Tol Pedas Linggi menghala ke Melaka untuk membantu seorang pengguna jalan raya.
“Kemudian datang mangsa dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta peronda berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, akibat nahas itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.