Selebriti ‘part time’

 

Oleh Pena Merah

Selebriti 'part time'
Faye Kusairi (kiri), Danny X-Factor, Mila Jirin dan Lan Pet Pet.

Nama mereka pernah menyinari persada seni tanah air sebelum ini. Tawaran berlakon dan nyanyian tidak putus-putus diterima dengan pendapatan bulanan agak lumayan.

Bagaimanapun, seiring perubahan masa dan usia, populariti dan kerjaya ini ada kala tidak mampu dipertahankan lagi sebagai pendapatan utama.



Pilihan terbaik ialah menukar karier yang dirasakan sesuai dengan jiwa sebagai alternatif mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ada dalam kalangan selebriti ini meninggalkan terus dunia seni dan ada di antaranya tetap menyertai aktiviti seni sekalipun sebagai tetamu program TV, penyanyi jemputan atau pelakon tambahan.

Ikuti temu bual wartawan, Ridzuan Abdul Rahman bersama selebriti terbabit.

Faye Kusairi – Pelakon



Dikenali menerusi drama Tujuh Hari Mencintaiku, Faye Kusairi dilaporkan memilih membuka gerai menjual nasi ayam di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Faye atau pemilik nama lengkap Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 37, menafikan dia membuka bisnes ini kerana tiada ‘job’ berlakon.

Menurutnya, ketika hamil anak ketiga yang dilahirkan Julai tahun lalu, dia sudah memperlahankan kerjaya seninya.

Selebriti 'part time'
GERAI nasi ayam diusahakan Faye di Bukit Antarabangsa. FOTO Instagram fayekusairi

“Saya gembira dengan apa yang dilakukan sekarang. Insya-Allah jika kesihatan dan masa mengizinkan, saya akan kekal dengan bisnes ini.



“Perancangan saya ialah bisnes ini dapat bertahan dan tentunya dapat berkembang lagi sebagaimana bisnes orang lain.

“Berkenaan berlakon pula, sekiranya ada tawaran jika watak sesuai dan menarik serta juga penceritaan yang baik, saya akan terima. Mungkin dah ada staf untuk bantu uruskan perniagaan, insya-Allah,” katanya.

Selebriti 'part time'
NASI ayam diusahakan Faye. FOTO Instagram fayekusairi

Menurutnya, perasaan penat tidak dapat dielakkan apabila bergelar peniaga, namun kepuasan dan perasaan seronok berbeza dari berlakon.

“Apa-apa pun saya sangat positif dan teruja berniaga. Ramai juga yang datang sokong. Paling jauh ada datang dari Johor untuk beli nasi ayam, manakala sokongan datang sejauh Brunei.



“Nasi ayam semuanya saya masak sendiri. Keluarga saya dulu pernah buka kedai dan saya yang uruskan. Ini kali pertama saya berniaga makanan. Pendapatan saya okey alhamdulillah,” katanya.

Mila Jirin – Penyanyi

Juara Akademi Fantasia 5, Mila Jirin atau Nursyamila Jirin, 36, kini bergelar ahli perniagaan selepas membangunkan perniagaan pakej perkahwinan Bizmilla Catering.

Mila yang popular dengan lagu Persis Mutiara mampu tersenyum apabila berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM50 juta setahun.



Mila pernah dipandang serong ketika bertemu seorang pegawai bank untuk membuat pinjaman sebanyak RM100,000.

Ia kerana perniagaan diceburinya iaitu berkaitan katering dan pengurusan perkahwinan didakwa adalah kelas ketiga dan sukar untuk berjaya.

“Saya menangis dalam kereta selepas jumpa dia, namun suami cakap dia bukan Tuhan untuk berkata begitu dan kami teruskan usaha,” katanya yang dikongsi menerusi Instagram miliknya.

MILA bersyukur kini mampu hasilkan pendapatan lumayan selepas membangunkan perniagaan pakej perkahwinan Bizmilla Catering. FOTO Instagram mila_jirin

Mila tidak mudah putus semangat dan membuktikan tanggapan itu ternyata salah. Dia kini berbangga kerana dapat berkongsi rezeki dengan ramai pekerja yang berkhidmat di bawahnya.



“Orang yang Allah hantar untuk uji kita, tetapi saya dan suami tidak patah semangat. Malah yakin dengan perancangan Allah.

“Bizmilla Catering kini ada 18 dewan jamuan. Perniagaan saya beri manfaat kepada 250 orang pasukan dengan caruman skim simpanan wang pekerja (KWSP) lebih RM600,000 sebulan,” katanya.

Biarpun masih merindui nyanyian, Mila kini akur belum masanya untuk menyanyi semula.

Danny X-Factor – Pelakon dan penyanyi

Memilih menceburi kerjaya sebagai pemandu e-hailing sejak 2017 ternyata memberi kepuasan dan kegembiraan buat pelakon dan penyanyi, Danny X- Factor atau Mohd Kardanie Anwa, 44.

Menurut Danny, dia tidak pernah menyesal atau malu selepas memilih kerjaya itu.

“Pendapatan bergantung atas diri kita. Kena tahu masa yang sesuai untuk mencari jumlah wang yang disasarkan. Sekarang, boleh katakan kalau ada tawaran berlakon pun, saya lebih pilih buat e-hailing.

“Kalau tawar berlakon pun saya kena tengok dulu sesuai atau tak. Isteri bekerja sebagai pramugari penerbangan AirAsia X. Anak saya dah berusia lima tahun dan mula sekolah.

“Kalau isteri terbang, saya jaga anak. Kalau dia balik dan cuti beberapa hari, waktu itulah saya buat e-hailing. Yang penting saya kena jaga kesihatan dan cukup rehat. Isteri selalu ingatkan perkara ini,” katanya.

DANNY mula ceburi dunia e-hailing sejak 2017 selain sebagai penerbit penyelaras dan pengurus produksi di Double Channel Sdn Bhd. FOTO Instagram danianwa

Danny yang tidak aktif berlakon, masih terbabit sebagai penerbit penyelaras dan pengurus produksi di Double Channel Sdn Bhd milik pelakon Syed Aiman.

Mereka berjaya menerbitkan filem pertama Janna Endoro bergenre aksi yang mengangkat wanita sebagai hero. Filem berlatar negeri Kelantan ini akan disiarkan pada penghujung Februari nanti.

Lan Pet Pet – Pelawak

Telatah lucu dan penampilan unik pelawak, Lan Pet Pet bersama kumpulan Senario pasti diingati ramai. Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 54, kini selesa bergelar ahli perniagaan apabila mengeluarkan produk Burger Uncle Lan Homemade Patty sejak sebulan lalu.

Pernah berdepan beberapa isu kontroversi, anggota SenarioUnion ini melupakan seketika dunia seni kerana kesibukan menguruskan perniagaan sendiri.

“Sebelum ini saya banyak jual belacan dan sekarang burger pula. Dulu sebelum terkenal saya pernah jual burger dan kerja dengan orang. Sekarang saya kumpul-kumpul modal dan buat burger.

“Saya buat launching dekat satu karnival jualan di Stadium Indera Mulia Ipoh pada 30 Disember hingga 1 Januari lalu. Sambutannya dahsyat apabila saya berjaya jual lebih satu tan daging burger dalam tempoh terbabit.

“Ia jadikan saya fokus betul-betul dan tak main-main. Alhamdulillah… masa Covid-19 saya dapat rezeki review kedai makan. Lepas itu semua pempengaruh iktiraf saya sebagai TikTokers Influencer,” katanya.

LAN kini selesa bergelar ahli perniagaan apabila mengeluarkan produk Burger Uncle Lan Homemade Patty. FOTO TikTok lanpetpet69

Dia kini selesa menjalankan perniagaan dengan mengikut karnival jualan seluruh Malaysia.

“Saya kini buat bisnes belacan, daging burger, wagyu dan kicap. Saya nak perkenalkan jenama Uncle Lan. Saya rancang nak buka stokis tapi belum boleh janji kerana matlamat nak branding dulu.

“Matlamat saya nak bina restoran macam restoran berjenama popular. Saya nak wujudkan francais,” katanya.

Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button