Ajal OKU ketika berkelah di Sungai Berkelah
Oleh – Syeikh Baran

Seorang lelaki ditemukan lemas, manakala dua rakannya selamat selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Berkelah, Gambang, di sini hari ini.
Mayat Harun Mahmud, 20, ditemukan pasukan bomba di dasar sungai pada kedalaman tujuh meter, pada jam 12.54 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisiner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa dikatakan ke sungai itu pada 11 pagi untuk beriadah bersama enam rakan dengan berkonvoi motosikal.
Katanya, Hamzah bersama enam rakan lain kemudiannya mandi di bahagian hilir air terjun, iaitu kawasan lubuk yang agak luas.
“Pada jam 11.30 pagi, ketika sedang mandi, mangsa bersama dua rakan ke kawasan yang lebih dalam yang menyebabkan mereka hanyut.
“Dua rakan dalam keadaan hampir lemas sempat berpaut pada dahan kayu di tebing sungai, tetapi mangsa didapati hilang.
“Rakan mangsa yang lain tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan kejadian sangat pantas dan keadaan dasar kolam yang sangat dalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, mangsa ditemukan anggota bomba di dasar sungai dengan kedalaman tujuh meter pada jam 12.54 tengah hari.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat dan siasatan mendapati mangsa adalah pemegang kad OKU kategori ketidakupayaan (pelbagai).
“Dua rakan mangsa, masing-masing berusia 15 dan 19 tahun yang selamat juga dihantar ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.53 pagi.
“Seramai 11 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, Kuantan dan Pekan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Sumber – BERITA HARIAN