Daqmie cari penyanyi untuk kesinambungan lagu Casablanca

 

Oleh Pena Merah

Daqmie cari penyanyi untuk kesinambungan lagu Casablanca
Daqmie sedia memberikan sambungan lagu Casablanca kepada penyanyi lain selepas tidak mendapat maklum balas daripada label Nuha dan rakan duetnya.

Hasrat komposer Casablanca, Daqmie meneruskan kesinambungan lagu yang mencetuskan fenomena itu tidak kesampaian apabila syarikat pengurusan penyanyi Naufal Azrin dan Nuha Bahrin tidak memberikan maklum balas sejak setahun lalu.

Begitupun, pemilik nama sebenar Azmee Abdul Manap, 53, itu tidak terasa hati, sebaliknya sudah sedia untuk memberikan nukilan baharu tersebut kepada penyanyi lain.



Katanya, sebagai penggubah lagu merangkap penyanyi, dia profesional memandangkan hanya menjalankan tanggungjawab berkarya seperti diingini label.

“Saya okey saja, urusan membabitkan penyerahan lagu yang sudah saya siapkan itu dilaksanakan antara label dengan syarikat pengurusan kedua-dua penyanyi terbabit.

“Daripada makluman syarikat rakaman, karya yang juga kesinambungan lagu Casablanca sudah diajukan sejak tahun lalu.

“Jadi selepas setahun pihak di sana senyap, bermakna lagu baharu itu boleh dibuka kepada penyanyi lain,” katanya ketika selepas pelancaran album baharunya, Ramadan 1445, hari ini.



Lagu ciptaan bersama Daqmie dan Abdul Karim Al Ali ketika awal pelancaran Jun 2022 menduduki tangga teratas Spotify Viral 50 Malaysia, Joox Malay Hits, Carta Top 10 RIM dan 100 Top Apple Music.

Malah, karya terbitan Universal Music Malaysia dan Bee GoodMedia itu mencetuskan fenomena tersendiri apabila turut dijadikan muzik latar bagi kebanyakan video dihasilkan pengguna laman sosial.

Sementara itu, mengenai album baharu yang turut membariskan Rabbani serta kumpulan nasyid baharu, Syahmura, sebanyak 500 unit cetakan pertama bagi album fizikal habis disambar peminat.

Menariknya, naskhah tersebut turut melakar sejarah tersendiri apabila mendapat sentuhan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif sebagai penulis lirik.



Mohd. Ariffin yang menggunakan dua nama pena iaitu Mawar Arif dan Abu Sofia meluahkan rasa teruja berkolaborasi menghasilkan dua dendangan iaitu Rasul Junjungan dan Bulan Kemuliaan.

Gabungan ramai nama besar dalam industri seni tanah air ini juga merupakan langkah awal Daqmie Music Factory menjalinkan kerjasama lebih erat banyak pihak.

“Antaranya adalah kolaborasi dengan Datuk Dr. Ariffin dalam mengembalikan semula kegemilangan genre nasyid di Borneo terutama Sabah,” ujarnya.

Kosmo Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button