Guna MC palsu, lima individu dipenjara sehari
Oleh Pena Merah
Lima individu termasuk pasangan suami isteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu dari Hospital Pulau Pinang (HPP), empat tahun lalu.
Pasangan suami isteri, T.D Vasudevan, 28, dan D. Carolina,28, bersama-sama G. Mukuntan,28; M. Harrvinthan,27 dan R. Gobinath,43 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa dengan curang menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang diketahui adalah satu dokumen palsu di beberapa lokasi sekitar George Town dan Bayan Lepas antara Januari sehingga Oktober 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuan masing-masing memohon mahkamah memberikan hukuman minimum susulan tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara keluarga dan ibu bapa yang uzur.
Afiqa Liyana bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan supaya ia dapat dijadikan pengajaran buat pesalah.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan denda RM1,500 dan satu hari penjara bagi setiap tertuduh selain memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh telahpun membayar denda yang dikenakan mereka itu
Kosmo Online