Kerja pengalihan bangkai pesawat selesai

 

Oleh Pena Merah

Kerja pengalihan bangkai pesawat selesai
Anggota Biro Siasatan Kemalangan Udara membawa keluar enjin pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar semalam, dan dihantar ke sebuah hangar di Subang untuk siasatan ketika tinjauan di lokasi kejadian hari ini

Kerja-kerja pengalihan dan pengumpulan serpihan pesawat malang model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di sini semalam, selesai kira-kira jam 1.05 tengah hari tadi.

Tinjauan media di lokasi nahas yang mengorbankan dua mangsa itu mendapati, kerja-kerja berkenaan yang dimulakan kira-kira 10 pagi membabitkan anggota Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan beberapa pihak berkaitan.



Kenderaan jengkaut telah digunakan bagi kerja pengalihan bahagian pesawat yang berat dan besar seperti enjin, selain pengumpulan sisa serpihan lain dikutip beberapa petugas di lokasi sebelum dikumpulkan ke dalam sebuah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Difahamkan, sisa serpihan dan bahagian bangkai pesawat terbabit akan dibawa ke sebuah hangar berdekatan lapangan terbang di Subang untuk dikumpul bagi tujuan siasatan.

Dalam nahas itu, juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan seorang pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 43, disahkan maut dalam nahas itu.

Bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang selesai pada 12.15 tengah hari tadi mendapati punca kematian mereka disebabkan pelbagai kecederaan pada anggota badan akibat nahas pesawat.



Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi sebelum dilaporkan terhempas pada 1.45 tengah hari.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button