Ebit Lew ajak tukar pasangan
Oleh – Syeikh Baran
Saksi kesembilan memberitahu mahkamah pendakwah terkenal, Ebit Lew mengajaknya bertukar pasangan untuk melakukan hubungan intim.
Saksi kesembilan yang juga pengadu dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, memberitahu perkara itu semasa menjelaskan tentang tangkap layar teks WhatsApp yang diterimanya dalam sesi pemeriksaan utama di Mahkamah Majistret, hari ini.
Pengadu yang merupakan wanita berusia 40-an itu memberitahu Mahkamah, dalam teks WhatsApp yang diterima, Ebit mengajaknya bertukar pasangan.
Ebit mencadangkan perkara itu agar dia boleh melakukan hubungan intim dengan pengadu sementara suami pengadu pula, disuruh melakukan hubungan intim bersama isteri beliau.
Dalam tangkap layar yang lain pula, pengadu memberitahu Mahkamah bahawa Ebit turut mengeluarkan kata-kata lucah dengan menyatakan hendak peluk, cium manja-manja dan melakukan perkara tidak senonoh kepadanya.
Kemudian pengadu membalas mesej sebegitu dengan menyatakan Ebit mempunyai isteri dan mesti dia ada hubungan suami isteri di rumah jadi kenapa perlu buat lagi kepadanya.
Apabila Ebit mengajaknya bertukar pasangan, pengadu memberitahu bahawa dia tidak akan dan suaminya pun tidak akan melepaskannya.
Malah, apabila membaca ayat tidak senonoh yang diterima daripada Ebit, pengadu turut merasa malu kerana ayat yang ditulis agak memalukan dan pengadu sendiri yang sudah bersuami pun tidak pernah tulis atau cakap ayat seperti yang Ebit tulis.
Menurut saksi tersebut, dia turut menghantar teks WhatsApp untuk menasihati Ebit agar melakukan taubat nasuha dan jangan buat perkara sebegitu dengan orang lain kerana Ebit adalah seorang yang terkenal.
“Aib ini saya seorang sahaja yang simpan, macam awak cakap, kita manusia biasa. Lagipun saya isteri orang. Tak apalah ini ujian hidup saya, ada suami macam ini, saya sabar sahaja demi anak,” katanya.
Dalam keterangannya saksi juga memberitahu mahkamah dalam teks WhatsAppnya dia rasa kasihan kepada Ebit sebab tertuduh seorang yang terkenal jadi, dia pesan jangan Whatsapp orang lain macam begitu sebab kalau tular, tertuduh sendiri yang malu.
Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.
Sumber – KOSMO! ONLINE.