Gajah liar ‘masuk’ sekolah, ketika pelajar bercuti

Oleh – Syeikh Baran


Gajah liar ‘masuk’ sekolah, ketika pelajar bercuti
Beberapa batang pokok kelapa dimusnahkan gajah liar yang menceroboh SMK Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Tahan, Jerantut hari ini.

Ketika guru dan pelajar bercuti, kawanan gajah liar masuk ke kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (SMKJPSHAH) di Kuala Tahan pada awal pagi hari ini.

Difahamkan kawanan gajah liar antara tiga hingga empat ekor itu menceroboh masuk dengan merempuh pagar sekolah kira-kira pukul 3 pagi untuk mencari makanan seperti pokok kelapa dan ubi kayu yang ditanam berdekatan kuarters guru di situ.



Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru SMKJPSHAH Kuala Tahan, Mohd. Khadzir Abdullah, 66, berkata, dia dimaklumkan oleh seorang penjaga pelajar kira-kira pukul 7 pagi hari ini dan terus bergegas ke sekolah untuk melihat kejadian tersebut.

“Saya mendapati pagar sekolah berdekatan Jalan Kuala Tahan – Kampung Pagi dirosakkan (dirempuh) haiwan liar ini, manakala beberapa batang pokok kelapa yang ditanam kira-kira tujuh meter dari rumah guru kelihatan tumbang dan sebahagiannya hancur dipijak gajah liar untuk mendapatkan umbut termasuk buahnya.

“Kemusnahan juga melibatkan tanaman ubi kayu dan sebilangan pokok buah-buahan yang baru ditanam apabila gajah liar berkenaan cuba mendapatkan makanan termasuk melepaskan najis di belakang kuarters guru,” katanya di Kuala Tahan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khadzir, kawanan gajah liar berkenaan dipercayai datang daripada kawasan matau kayu balak berdekatan Jalan Kuala Tahan ke Kampung Pagi yang tidak jauh dari sekolah tersebut.



Dia berkata, lumrahnya penduduk yang berulang alik antara Kuala Tahan ke Kampung Pagi serta kawasan Ulu Tembeling kerap terserempak dengan kawanan gajah liar itu berkeliaran di kawasan matau kayu balak untuk mencari makanan dalam jumlah bilangan yang banyak.

“Apapun saya bersyukur kerana kejadian pencerobohan gajah liar ini tidak melibatkan ancaman terhadap keselamatan guru dan pelajar di sini yang ketika ini berada di kampung masing-masing kerana cuti persekolahan akhir tahun,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu merupakan kali kedua dan difahamkan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memantau pergerakan haiwan liar itu bagi mengelakkan ancaman berulang.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button