Hadiahkan peminat 1,000 patung beruang
Oleh – Syeikh Baran
Penyanyi Anuar Zain tidak lokek untuk mengagihkan lebih 1,000 buah anak patung beruang kepada peminat yang datang ke konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal yang diadakan di Jio Space, di sini, semalam.
Anuar atau nama lengkapnya Shahrul Anuar Zain, 53, seusai konsertnya semalam memberitahu, tujuannya memberikan anak patung beruang itu kepada peminat adalah sebagai tanda kenang-kenangan dan simbolik kasih sayang buat mereka.
“Idea untuk memberikan anak patung beruang ini datang daripada pengurusan Anuar Zain Network sendiri. Demi peminat, kami mengeluarkan belanja lebih dengan memberikan hadiah anak patung beruang.
“Terdapat tiga saiz anak patung beruang yang diberikan iaitu kecil iaitu sebanyak 800 unit, sederhana (250) dan dua buah anak patung beruang bersaiz besar untuk diberikan kepada peminat serta pasukan produksi yang menjayakan konsert saya,” katanya.
Kata penyanyi yang juga bekas pramugara itu, dia menyifatkan anak patung beruang juga disifatkan sebagai tanda kasih sayang kerana sifatnya yang lembut dan selesa bila dipegang.
“Anak patung beruang ini membawa simbolik kepada kasih sayang. Sifatnya yang lembut boleh menenangkan apabila dipegang atau dipeluk.
“Saya sendiri amat menyukai anak patung beruang,” katanya.
Dalam pada itu, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu turut melahirkan rasa bersyukur dan terharu terhadap peminat yang tidak pernah jemu memberikan sokongan terhadap konsert yang dia anjurkan.
Walaupun konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal yang diadakan kali ini cuma berskala kecil, namun bagi Anuar, dia menyifatkan konsert tersebut lebih bermakna kerana terasa dekat dengan peminatnya.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang datang memberikan sokongan kepada saya. Penganjuran konsert tidak kira sama ada berskala besar (di stadium) atau kecil, masing-masing ada kelebihannya tersendiri.
“Konsert seperti ini (bawah 1,000 penonton), saya lebih dekat dengan peminat dan rasa kerja keras saya selama ini lebih dihargai.
“Bila saya anjurkan konsert berskala kecil seperti ini, saya boleh nampak lebih jelas lagi kasih sayang peminat dan boleh mendekati mereka untuk bergambar,” ujarnya.
Ketika konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal semalam, Anuar menghiburkan kira-kira 1,000 orang peminatnya dengan deretan 20 buah lagu popularnya seperti Sedetik Lebih, Sesucinya Cintamu, Lelaki Ini dan Andainya Takdir.
Selain itu, Anuar turut menerima kejutan berupa sebuah kek bersaiz gergasi daripada produksi bersempena sambutan hari lahirnya yang jatuh pada 15 Februari lalu.
Selain peminat Malaysia, penghibur itu turut menerima kedatangan peminat daripada luar seperti Singapura dan juga Indonesia.
Sumber – KOSMO! ONLINE