Jun Hao akui terkejut galas tanggungjawab besar
Oleh – Syeikh Baran
PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui terkejut apabila terpaksa memikul tanggungjawab besar sebagai pemain pertama pada aksi final menentang China pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.
Jun Hao, pemain yang berada di ranking ke-38 dunia itu turut mengakui kesalahan yang dibuat pada mata penting memakan dirinya apabila ditewaskan Weng Hong Yang menerusi permainan straight set 19-21 dan 17-21.
“Pagi ini (baru tahu dipilih sebagai pemain pertama). Bagi saya memang ada rasa sukar sebab hari ini turun sebagai pemain pertama…tapi tetap bersedia walaupun terkejut.
“…rugi pada mata penting sebab kesilapan seperti itu. Saya harap kejohanan selepas ini, saya akan lebih yakin dan konsisten,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan keputusan itu dibuat barisan kejurulatihan selepas dua tonggak perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terpaksa direhatkan kerana masing-masing mengalami kesukaran bernafas akibat resdung selain kecederaan belakang.
Hasrat skuad lelaki negara untuk mempertahankan gelaran BATC pada edisi 2024 tidak kesampaian apabila tumpas 0-3 kepada skuad China pada aksi final di sini hari ini.
Terdahulu, pasangan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut ditumbangkan 16-21, 21-16 dan 21-23 oleh Xie Hao Nan-Zheng Wei Han.
Selain itu perseorangan negara Eogene Ewe yang berada di ranking ke-298 dunia ditumpaskan oleh Lei Lan Xi menerusi permainan straight set 10-21 dan 14-21. – Bernama
Sumber – SINAR HARIAN