Malaysia berpuas hati naib juara
Oleh – Syeikh Baran
Hasrat skuad lelaki negara untuk mempertahankan gelaran pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 tidak tertunai apabila terpaksa akur tewas 0-3 kepada China di perlawanan akhir sebentar tadi.
Meskipun turun selaku tuan rumah pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam, namun Malaysia gagal menggunakan kelebihan itu untuk mencipta kemenangan ke atas ‘pasukan B’ China.
Pada perlawanan itu, Leong Jun Hao yang turun selaku perseorangan pertama negara terlepas peluang menghadiahkan mata pertama Malaysia apabila tewas 19-21, 17-21 kepada pemain No.16 dunia, Weng Hong Yang.
Harapan Malaysia untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik lebur selepas dikejutkan beregu No.90 dunia, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dengan kekalahan 16-21, 21-16, 21-23.
Ketinggalan 0-2, Malaysia mengharapkan perseorangan kedua, Eogene Ewe untuk melakar kejutan dengan menghadiahkan mata pertama negara, namun kecewa apabila pemain berusia 19 tahun itu tewas 10-21, 14-21 kepada Lei Lan Xi.
“Saya sentiasa berfikir positif, dengan pengalaman ini ia akan menjadikan kami sebagai pasukan yang lebih kuat.
“Dengan Sukan Olimpik akan berlangsung tidak lama lagi, sudah tentu banyak cabaran yang kami perlu harungi. Cabaran di sini adalah sesuatu yang bagus untuk kami belajar,” kata Wooi Yik yang menggalas tugas sebagai kapten.
Sementara itu, dalam kategori wanita pula menyaksikan India memahat nama selaku Raja Asia yang baharu sebaik sahaja memastikan kemenangan 3-2 ke atas Thailand selepas dipaksa berhempas pulas sepanjang perlawanan tersebut.
Kemenangan itu dianggap sebagai detik bersejarah buat skuad wanita India memandangkan ia merupakan gelaran sulung di peringkat antarabangsa selepas pencapaian terbaik sebelum ini adalah tiga kali melangkah ke separuh akhir Piala Uber.
Sumber – KOSMO! ONLINE