Yana Samsudin lahirkan anak ketiga

 

Oleh Pena Merah

Yana Samsudin lahirkan anak ketiga
Fadzil, Yana dan tiga permata hati mereka. Foto IG Fadzil Zahari

Pelakon dan penerbit, Yana Samsudin, 40, melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam, Selangor, akhir bulan lalu.

Suami Yana, iaitu Fadzil Zahari berkata, bayi ketiga mereka lahir sebulan lebih awal berikutan isterinya mengalami masalah praeklampsia yang menyebabkan tekanan darah tinggi.



“Yana sepatutnya bersalin pada 29 Januari ini. Kami sebenarnya merancang Yana bersalin di kampungnya di Yong Peng, Johor.

“Tetapi, disebabkan tekanan darah tinggi, dia terpaksa bersalin sebulan lebih awal. Kami tidak sempat kongsi berita gembira ini masih kalut dan terkejut Yana berdepan masalah praeklampsia,” katanya

Berita gembira kelahiran cahaya mata ketiga mereka itu hanya diumumkan Yana di laman sosial, malam tadi.

Fadzil bagaimanapun lega kerana keadaan isterinya semakin baik dan sedang berpantang di sebuah pusat jagaan ibu bersalin.



“Alhamdulillah, semuanya sudah okay. Saya hendak Yana tukar suasana dengan berpantang di pusat jagaan. Sejak di sini, nampak perubahan Yana. Tekanan darahnya semakin stabil,” katanya.

Sementara itu, melalui hantaran Instagram (IG), Yana berkongsi selepas empat hari bersalin, tekanan darahnya belum stabil, dengan bacaan daripada 140 meningkat 170.

Sehubungan itu, Fadzil meminta kebenaran hospital membawa Yana keluar supaya mendapat suasana baharu.

“Alhamdulillah, daripada bacaan tekanan darah 140 hingga perlu makan ubat darah tinggi, sekarang, keadaan sudah normal,” katanya.



Dalam hantaran itu, Yana meluahkan rasa terharu dengan kejutan daripada suami yang menempah pusat jagaan ibu bersalin tanpa pengetahuannya.

“Di sini ada jururawat jaga 24 jam untuk ibu dan ‘baby’. Makan pakai semua siap, tidak perlu fikir apa-apa,” katanya.

Yana dan Fadzil Zahari berkahwin 13 Februari 2015. Sebelum ini, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aisy Mateen, 8, dan Aura Aisy Sofea, 4.

SUMBER – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button