Hizbullah lancar serangan puluhan roket
Oleh – Syeikh Baran

Kumpulan Hizbullah memaklumkan, pihaknya melepaskan tembakan puluhan roket terhadap sebuah pangkalan tentera Israel, selepas rejim Zionis menyerang timur negara ini dalam konflik yang semakin memuncak berkait perang Gaza.
Terdahulu, pegawai keselamatan di Lubnan dan sumber rapat Hizbullah memberitahu AFP, dua anggota kumpulan berkenaan terbunuh dalam serangan Israel ke atas Baalbek itu.
Pihak tentera Israel pula memberitahu AFP, ‘puluhan roket’ telah ditembak dari Lubnan. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, setakat ini.
Terdahulu, rejim terbabit mendakwa bahawa serangan yang dilancarkannya berhampiran Baalbek itu menyasarkan sistem pertahanan udara Hizbullah, sebagai tindak balas selepas kumpulan berkenaan menembak jatuh satu daripada dron Israel di selatan Lubnan, semalam.
Ia adalah serangan pertama Israel ke atas Hizbullah di luar kawasan selatan Lubnan, sejak perang meletus antara Israel dengan Hamas yang juga sekutu kumpulan itu, pada 7 Oktober lalu. – AFP
Sumber – BERITA HARIAN