Padah merempit di Lebuh Raya Guthrie, lima lelaki ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Padah merempit di Lebuh Raya Guthrie, lima lelaki ditahan
Antara mat rempit yang ditahan merempit di Lebuh Raya Guthrie, Sungai Buloh, awal pagi tadi.

Tindakan lima ‘mat rempit’ melakukan aksi ‘superman’ serta zig-zag di Lebuh Raya Guthrie, di sini mengundang padah apabila dicekup polis, awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman.



Menurutnya, operasi yang bermula pukul 2 pagi itu berjaya menahan lima penunggang berusia 17 hingga 23 tahun.

“Tangkapan pertama membabitkan dua penunggang, manakala tiga lagi ditahan di lokasi berasingan selepas kesemua mereka dikesan menunggang secara melulu dan merbahaya.

“Polis telah menyita motosikal mereka jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC, Yamaha Lagenda serta SYM VF3I,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, soal siasat awal mendapati lima lelaki tempatan itu tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan motosikal, sebaliknya mereka yang menetap di sekitar Lembah Klang itu hanya menjadikan lebuh raya terbabit sebagai tempat melepak dan berlumba.



Katanya, kesemua mereka dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tegasnya, Op Samseng Jalanan ini dilaksanakan bertujuan bagi membendung dan membanteras kegiatan terbabit selain mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Sepanjang operasi dilaksanakan, sebanyak 25 individu diperiksa, polis turut mengeluarkan 44 saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiada cermin sisi, ekzos bising, tiada lesen memandu serta ubah suai struktur,” ujarnya.

Justeru, JSPT akan terus melaksanakan operasi membendung kegiatan samseng jalanan daripada terus berleluasa.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button