Ahli Parlimen ‘perang mulut’ kerana bak kut teh
Oleh – Syeikh Baran
Isu menu bak kut teh yang baru disenaraikan sebagai makanan warisan negara terus menghangatkan Dewan Rakyat apabila beberapa ahli Parlimen ‘berperang mulut’ mempertahankan hujahan masing-masing.
Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) ketika sesi perbahasan titah diraja mempersoalkan tindakan segelintir wakil rakyat yang mempolitikkan serta mewujudkan konflik berkaitan menu tersebut.
“Kalau guna daging babi, jadi tak halal, haram. Gunalah daging yang boleh kita makan, daging kambing, lembu, ayam, itik, daging angsa pun boleh.
“Apa yang masalahnya? Semua benda kita nak dipolitikkan. Ini jadi masalah dalam negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Terdahulu Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) memohon kerajaan menjelaskan mengenai menu berkenaan yang boleh mendatangkan kekeliruan kepada mereka yang tidak memahami maksudnya.
Sejurus itu Howard Lee (PH-Ipoh Timur) bangkit menjelaskan, perkataan ‘bak’ adalah dalam bahasa Hokkien.
“Bak dalam bahasa Hokkien adalah daging, bukan khusus daging khinzir, itu salah. Kalau tu bak, itu daging khinzir, gu bak daging lembu,” jelasnya.
Sementara itu Teresa Kok (PH-Seputeh) turut melahirkan rasa kecewa terhadap seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Perpaduan yang lantang mengkritik isu berkenaan.
Tidak menamakan pemimpin berkenaan, namun ia dipercayai merujuk kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang baru-baru ini terlibat dalam ‘pertikaman lidah’ dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di media sosial masing-masing.
“Saya berasa kecewa dengan kritikan yang dilontarkan oleh seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Perpaduan berkenaan isu bak kut teh yang disenaraikan sebagai makanan warisan,” ujarnya.
Sumber – SINAR HARIAN