Jutawan Thai, setiausaha ditemui mati di rumah
Oleh – Syeikh Baran
Polis Thailand menyiasat kematian seorang jutawan dan setiausahanya di sebuah rumah di daerah Hua Hin, dalam wilayah Prachuap Kiri Khan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Sebelum mayat mereka ditemui, anak lelaki jutawan berkenaan, Suphatta Suwantanon memberitahu bahawa dia tidak dapat menghubungi ibunya selama beberapa hari.
Lelaki itu kemudian pergi ke rumah ibunya kelmarin dan mendapati pendingin hawa, pintu dan tingkap berkunci.
Dia juga menghidu bau busuk dari dalam rumah. Sejurus mengintai dari tingkap bilik tidur ibunya, lelaki itu melihat satu mayat terbaring dan ditutup dengan kain.
Dia segera melaporkan perkara itu kepada polis. Pasukan polis yang tiba kemudian menemui dua mayat wanita.
Suphatta ditemui mati di atas katilnya dengan kesan tembakan di dada, manakala setiausaha wanita tersebut, Suphawadee Hilt, turut ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di atas lantai.
Mayat Suphawadee mempunyai kesan tembakan pada kepala selain sepucuk pistol 9 milimeter ditemui berhampiran mayatnya.
Pegawai polis kemudian menemui sepucuk surat di atas meja bilik tidur di mana dalam surat itu, Suphawadee memohon maaf atas kematian majikannya.
Wanita itu menulis bahawa dia tidak sengaja tertembak Suphatta ketika mereka bermain dengan pistol tersebut. Disebabkan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dia menembak dirinya sendiri.
Menurut laporan polis,kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia sekurang-kurangnya lima hingga tujuh hari lalu dan tiada sebarang petunjuk berlakunya pergelutan.
Dalam pada itu, polis tidak menolak kedua-dua mereka mempunyai hubungan lebih intim berbanding majikan dan pekerja tetapi akan menyiasat setiap aspek kes tersebut. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE