Lelaki maut dilanggar ketika melintas
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Dato’ Dol Said di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, K. Silvaraju, 54, maut di lokasi akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melintas dari arah kiri Jalan Klinik Kesihatan Alor Gajah sebelum dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70.
“Pemandu SUV itu dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Paku Kelemak hendak ke tempat kerja di Bandar Enstek, Seremban, Negeri Sembilan.
“Setiba di lokasi, kenderaan tersebut dipercayai telah melanggar si mati yang hendak melintas di lorong paling kanan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi bebas yang melihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE