Demi pertahankan maruah adiknya, Risteena mahu saman netizen
Oleh Pena Merah
Pelakon Risteena berhasrat mengambil tindakan undang-undang sebagai langkah mempertahankan maruah adiknya, pelakon Ruhainies yang bertubi-tubi menjadi sasaran kecaman dan kebencian umum selepas ditangkap berkhalwat dengan selebriti asal Singapura, Aliff Aziz.
Tegas Risteena atau nama lengkapnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 34, segala hantaran berbaur hinaan dan fitnah yang dilontarkan kepada Ruhainies akan disimpan sebagai bukti walaupun ada yang sudah dipadam.
“Meski sudah padam, semua bukti berunsur fitnah, lucah dan maki akan ditangkap layar pihak peguam.
“Tolong bagi kerjasama nanti,” katanya menerusi Instagram.
Menerusi hantaran berasingan, pelakon Ajari Playboy Itu juga berkongsi beberapa tangkap layar mesej yang diterima selepas Ruhainies mengeluarkan kenyataan tentang kejadian sebenar berhubung insiden ditangkap khalwat pada 8 Mac lalu.
Sebelum ini, isteri kepada pelakon Isa Khan memaklumkan bahawa pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tiba di lokasi kejadian pukul 11 malam, bukan 3 pagi seperti digembar-gemburkan.
Dia juga menunjukkan bukti tangkap layar perbualannya bersama Ruhainies menerusi aplikasi Whatsapp pada hari kejadian.
Paparan mesej tersebut sekali gus menjadi bukti kebenaran dakwaan Ruhainies mengenai tindakan membawa masuk Aliff ke dalam rumah adalah bagi menunggu kedatangan ahli keluarganya untuk makan malam beramai-ramai.
Ruhainies dan suami pelakon Bella Astillah mencetuskan kegemparan susulan dicekup khalwat di kediamannya. Mereka kemudian dibawa ke pejabat Jawi sebelum dibebaskan dengan jaminan pada hari sama.
Susulan insiden berkenaan, Bella memfailkan perceraian terhadap Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin lalu dengan sebutan kali pertama berlangsung kelmarin.
Namun, kelibat Aliff tidak kelihatan atas alasan sedang menjalani penggambaran drama siri Terjerat di Selatan tanah air yang turut menggandingkan lakonannya bersama Ruhainies. – Kosmo Online