Lagu Rabiatul Adawiyah diberi nafas baru bersama Khai Bahar

 

Oleh Pena Merah

Lagu Rabiatul Adawiyah diberi nafas baru bersama Khai Bahar
Khai (tengah) sekali lagi menjadi pilihan Inteam untuk projek pembikinan semula single Rabiatul Adawiyah 2024

Selepas 23 tahun lagu Rabiatul Adawiyah dipopularkan Inteam, kumpulan nasyid itu sekali lagi memilih Khai Bahar untuk tampil bersama dalam projek pembikinan semula single itu dengan judul baharu, Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24)

Anggota Inteam, Mohd Syahril atau Syah memberitahu, kumpulan nasyid itu pernah bekerjasama dengan Khai melalui projek ‘remake’ lagu Setanggi Syurga pada 2020.



“Kami melihat kerjasama itu sangat serasi dan lagu Setanggi Syurga yang diberi nafas baharu dapat sambutan hangat peminat.

“Suara Khai juga dengan lagu Inteam,” katanya kepada BH Online.

Khai pula tidak berfikir dua kali apabila ditawarkan peluang bekerjasama dengan Inteam dalam projek ‘remake’ single Rabiatul Adawiyah.

“Saya meminati lagu Inteam dan pernah menyanyikan lagu mereka secara ‘cover’ dalam media sosial.



“Lebih istimewa lagi, lagu Rabiatul Adawiyah menjadi antara lagu yang sangat disukai arwah ibu saya dan pastinya menggamit nostalgia indah,” katanya.

Lagu Rabiatul Adawiyah dimuatkan dalam album Inteam berjudul Impian Kasih yang dilancarkan pada 2001.

Lagu ciptaan Munif Ahmad dari kumpulan Hijjaz dan lirik nukilan Abdul Kahar ini mengisahkan mengenai serikandi sufi iaitu Rabiatul Adawiyah.

Seorang lagi anggota Inteam, Muhammad Hazamin atau Hazamin berkata, lagu Rabiatul Adawiyah sangat bermakna untuk dihayati terutama dengan ketibaan Ramadan.



“Lagu ini menceritakan kisah perjalanan seorang hamba Allah iaitu serikandi yang mencari Tuhannya.

“Akhirnya beliau meletakkan cinta Allah dalam hatinya mengatasi segala-galanya,” katanya.

Khai (tengah) tidak berfikir dua kali apabila ditawarkan peluang bekerjasama dengan Inteam dalam projek ‘remake’ single Rabiatul Adawiyah.
Khai (tengah) tidak berfikir dua kali apabila ditawarkan peluang bekerjasama dengan Inteam dalam projek ‘remake’ single Rabiatul Adawiyah.

Hazamin berkata, RA24 menampilkan susunan muzik oleh Chaan yang lebih segar dan mengikut arus semasa.

“Namun, ini tidak sesekali menghilangkan keaslian dan penghayatan asal lagu ini.



“Durasi lagu juga dipendekkan sedikit dengan sebahagian besar dendangan dinyanyikan Khai dan selebihnya Inteam sendiri,” katanya.

Ditanya mengapa sering melakukan ‘remake’ dendangan lama dan bukan lagu baharu, anggota Inteam, Hisyam memberitahu, kumpulan itu menghasilkan 10 lagu baharu sebelum pandemik COVID-19.

“Sebenarnya, sejak sebelum pandemik, kami menghasilkan lebih 10 lagu baharu seperti Labbaikallah, Love of God, I Love Muhammad, Sollu Alan Nabi, Gapura dan Selimut Kasih.

“Cuma sudah menjadi kebiasaan menjelang Ramadan untuk kami menyanyikan semula lagu lama dan berduet dengan artis arus perdana.



“Lagu lama ada unsur nostalgia dan kami cuba perkenalkan semula lagu berkualiti kepada generasi sekarang yang mungkin belum dilahirkan ketika lagu terbabit dilancarkan,” katanya.

Lagu Rabiatul Adawiyah 2024 dilancarkan pada 8 Mac lalu dan boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Deezer, Apple music dan Kkbox termasuk rangkaian Youtube Inteam Digital. – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button