‘Nasi daging lembu’ dihasilkan penyelidik Korea Selatan
Oleh Pena Merah
Penyelidik Korea Selatan berjaya menanam sel daging lembu dalam butir padi, yang disifatkan sebagai langkah utama ke arah mencapai sumber protein yang mampan, murah dan mesra alam bagi menggantikan ternakan lembu daging.
Prof Jinkee Hong dari Universiti Yonsei di Seoul, yang mengetuai penyelidikan diterbitkan dalam jurnal Matter bulan ini, berkata ‘nasi daging lembu’ adalah produk pertama seumpamanya.
“Zarah bijirin digunakan sebagai asas untuk ‘menyemai’ otot haiwan dan sel lemak, membolehkan ia diserap setiap biji beras,” katanya.
Dalam penyelidikan, butiran beras dirawat dengan enzim bagi mewujudkan persekitaran optimum untuk pertumbuhan sel, kemudian diselitkan dengan sel lembu yang ditanam untuk mencapai produk hibrid akhir iaitu beras berwarna merah jambu.
Pasukan Yonsei bukanlah yang pertama mengusahakan produk daging buatan makmal, sebaliknya syarikat di seluruh dunia turut memperkenalkan ‘daging yang ditanam’ dan terbaru, membabitkan ayam dan belut berasaskan soya, dipasarkan di Singapura.
Pasukan Hong berkata, beras mempunyai kelebihan dari segi keselamatan berbanding soya atau kacang kerana tidak ramai yang alah kepada beras.
“Jika berjaya dibangunkan menjadi produk makanan, nasi daging lembu kultur boleh berfungsi sebagai sumber protein yang mampan, terutamanya dalam persekitaran di mana penternakan tradisional tidak praktikal,” katanya.
Nasi daging lembu mengandungi lebih kurang lapan peratus lebih protein dan tujuh peratus lebih lemak berbanding nasi konvensional.
Hong berkata, 18 peratus protein adalah berasaskan haiwan, menjadikannya sumber yang kaya dengan asid amino penting.
“Berharga kira-kira AS$2 (RM9.40) sekilogram dan dengan jejak karbon yang jauh lebih kecil berbanding produk daging lembu tradisional, nasi daging lembu kultur boleh bersaing di pasaran.
“Cabaran kekal dari sudut teknikal dan dari segi memenangi selera pelanggan dengan rasa dan tekstur,” katanya. – REUTERS