JKN Perak siasat surat layang tentang gangguan seksual

 

Oleh Pena Merah

JKN Perak siasat surat layang tentang gangguan seksual
Surat layang yang dipos ke HRPB pada 28 Februari lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas pada 29 Februari lalu bagi menyiasat surat layang yang mendakwa seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan hospital.

Pengarahnya, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut dilakukan sehari selepas surat berkenaan diterima HRPB melalui pos.



“Jawatankuasa ini terdiri daripada pegawai-pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Siasatan sedang dijalankan dengan pengumpulan bukti. KKM memandang tuduhan ini sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung surat layang yang mendakwa seorang doktor dari sebuah jabatan di HRPB melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan wanita hospital berkenaan.

Antara dakwaan yang terkandung di dalam surat layang ditujukan kepada Pengarah HRPB, Datuk Dr. Megat Iskandar Megat Abdul Hamid termasuklah cara doktor tersebut melakukan gangguan seksual serta salah laku lain membabitkan cara kerja.



Turut didedahkan dalam surat layang itu adalah nama beberapa individu yang juga kakitangan hospital berkenaan yang didakwa melindungi perbuatan doktor berkenaan.

Surat layang terbabit juga menzahirkan kekesalan penghantarnya mengenai ketiadaan tindakan terhadap doktor itu biarpun aduan telah dilakukan berhubung isu berkenaan.

Turut terkandung dalam surat layang itu adalah permohonan terhadap Megat Iskandar agar siasatan terhadap kes dilakukan secara telus dan memohon doktor tersebut ditukarkan ke hospital di negeri lain. – Kosmo Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button