Hannah Delisha alami keguguran

 

Oleh Pena Merah

Hannah Delisha alami keguguran
Hannah mengalami keguguran dan berharap agar bertemu dengan anaknya di syurga nanti.

Impian pelakon jelita, Hannah Delisha untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila mengalami keguguran.

Pemilik nama lengkap Hannah Adlina Blackburne Birch, 27, berkata, perkongsian tersebut diharap menyuntik semangat kepada wanita lain yang berdepan situasi serupa agar tidak patah semangat.



“Saya mengalami keguguran untuk kandungan pertama ini. Saya ingin berkongsi rasa cinta dan kekuatan kepada seluruh wanita yang pernah keguguran.

“Kesedihan yang tidak tertanggung dialami ramai wanita tetapi tidak dikongsi.

“Saya berharap dengan membaca perkongsian saya ini dapat beri kekuatan kepada wanita yang pernah kehilangan bayi menyedari mereka tidak bersendirian,” katanya menerusi aplikasi X.

Dalam perkongsian terbabit, pelakon drama Andai Itu Takdirnya turut berkongsi gambar imbasan sonografi yang dilakukan di sebuah klinik.



Menerusi ciapan sama, Hannah turut menitipkan doa agar diberikan kesembuhan dan kekuatan selain berharap dapat bertemu permata hatinya di syurga kelak.

“Semoga Allah memberi kesembuhan, meringankan kesakitan dan mengisi hati dengan ketenangan. Insya-Allah jumpa di syurga nanti sayang,” tulisnya.

Sebelum itu, aktres kelahiran Singapura itu memuat naik foto yang menunjukkan dirinya sedang dirawat di hospital, namun tidak mendedahkan sebarang infomasi.

Hannah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Singapura, Imam Shah atau Muhammad Imam Shah Abdul Mutalib, 35, pada 18 Februari 2021. – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button