Kaji semula pelaksanaan sistem sewaan tanah pertanian

Oleh – Syeikh Baran


Kaji semula pelaksanaan sistem sewaan tanah pertanian
Ahmad Zahid (tengah) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim terpilih pada Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah. Foto Bernama

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, pelaksanaan sistem sewaan tanah pertanian khususnya untuk penanaman sayur kepada pengusaha tempatan perlu dikaji semula bagi mengelakkan sektor itu dikuasai warga asing.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan pengusaha tempatan yang memperoleh manfaat itu bertindak menyewakannya kepada warga asing untuk diusahakan.



“Sektor 3D iaitu dirty, difficult and dangerous ini tidak disertai oleh rakyat tempatan dan kita tahu bahawa kawasan utama penanaman sayur diberikan secara lease hold atau sewaan kepada rakyat tempatan tetapi mereka memberikan pula peluang ini kepada warga asing.

“Saya fikir dalam perkara ini, sistem itu sudah baik tetapi pelaksanaannya harus dilihat semula serta tentunya bahagian penguatkuasaan, Pejabat Daerah dan Tanah dan lembaga tertentu mesti mengambil tindakan. Kita harus melihat penyelesaiannya secara holistik,” katanya.

Ahmad Zahid mengulas laporan sebuah akhbar tempatan bahawa rantaian pembekalan sayur-sayuran di Malaysia kini mula dikuasai pendatang asing yang bertindak memperluas kawasan yang diusahakan secara haram sehingga mencecah 1,000 hektar.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sultan Mahmud, Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Rubiah Wang.



Ahmad Zahid juga menyeru masyarakat beragama Islam di negara ini mendukung fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan kerajaan negeri agar tidak terpengaruh dengan dakyah serta penularan ajaran sesat.

Mengulas dakwaan mengenai cubaan gerakan tertentu untuk menghidupkan kembali ajaran Ayah Pin atau Kerajaan Langit yang telah difatwakan sebagai sesat pada 1997 oleh pihak berkuasa di Besut, beliau berkata, ajaran sebenar Islam adalah bersandarkan nas al-Quran, hadis, qiyas dan ijmak ulama.

Tular di media sosial dakwaan individu tertentu bahawa wujud gerakan yang berhasrat menghidupkan kembali ajaran Ayah Pin, atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad, di sekitar daerah Besut baru-baru ini. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button