9 juta batang rokok seludup dirampas Kastam Pulau Pinang

 

Oleh Pena Merah

9 juta batang rokok seludup dirampas Kastam Pulau Pinang
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Roselan Ramli (tengah) menunjukkan antara 9 juta batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam dengan nilai anggaran termasuk cukai berjumlah lebih RM7.9 juta.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas sembilan juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM7.92 juta termasuk cukai, yang dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang, Selangor, pada 7 Mac lalu.

Pengarah JKDM negeri, Roselan Ramli, berkata rokok berkenaan ditemukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang ditahan ketika berlabuh di pelabuhan itu kira-kira jam 10.40 pagi.



“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kontena terbabit menemukan sebanyak 900 kotak mengandungi sembilan juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta dan cukai RM6.12 juta,” katanya pada sidang media di stor penguatkuasaan Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Roselan berkata, kontena itu disyaki berasal dari negara di Asia Tenggara dengan dikendalikan oleh syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang, dan diimport sebuah syarikat berstatus sendirian berhad di Selangor.

Katanya, modus operandi digunakan adalah dengan mengikrar dagangan itu sebagai perabot, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, rokok terbabit dipercayai untuk pasaran tempatan bagi kegunaan pekerja di ladang dan tapak pembinaan.



Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek yang terbabit. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button