Isteri kedua didenda RM1,000
Oleh – Syeikh Baran
Gara-gara merosakkan kereta bekas suaminya kerana berang diceraikan dengan talak tiga melalui aplikasi WhatsApp selepas tiga bulan bernikah, seorang wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Sasha Diana Sabtu mengenakan hukuman denda itu terhadap wanita yang juga bekas isteri kedua itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya memenuhi beban pembuktian melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Katanya, mahkamah berpuas hati bahawa bukti menunjukkan bahawa tindakan berulang tertuduh membawa kepada kerosakan pada kereta itu, namun pada masa sama percaya ia dilakukan dalam keadaan terdesak.
“Tertuduh berasa kecewa dan terdesak sehingga terpaksa menunggu beberapa di luar rumah pengadu. Pengadu masih enggan bercakap ketika ditemui tertuduh. Semua ini menyebabkan tertuduh terdesak dan beremosi sehingga mula merosakkan tingkap dan cermin depan supaya lelaki itu keluar dari kereta hanya supaya boleh bercakap dengannya.
“Sekiranya pengadu memberi ruang untuk perbincangan dan mengendalikan perceraian dengan belas kasihan serta ihsan, tertuduh tidak perlu mengambil langkah terdesak seperti itu.
“Hukuman yang dijatuhkan mahkamah tidak berpihak atau atas faktor simpati, sebaliknya dengan pertimbangan sewajarnya mengenai apa yang berlaku dan bagaimana ia berlaku,” kata Majistret dalam penghakiman bertarikh 13 Mac lalu yang dimuat naik dalam sistem e-kehakiman.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja telah melakukan khianat iaitu dengan mengetuk dan menendang cermin hadapan sebuah kereta jenis BMW 530 sehingga retak milik suaminya (ketika kejadian) yang berusia 61 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di daerah ini pukul 12.05 tengah malam pada 24 Julai 2020 yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sumber – KOSMO! ONLINE