Israel mungkin guna kebuluran sebagai ‘senjata perang’

Oleh – Syeikh Baran


Israel mungkin guna kebuluran sebagai 'senjata perang'
Penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka selepas Israel mengebom pusat bandaraya Gaza semalam. – Foto AFP

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini mengeluarkan amaran mengenai sekatan keras Israel kepada bantuan ke Gaza serta serangan berterusan yang dilihat sebagai menggunakan kebuluran sebagai ‘senjata perang’.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk mengecam situasi kelaparan yang berleluasa dan kebuluran yang meningkat di Gaza.



“Situasi kelaparan dan kebuluran adalah akibat daripada sekatan keras Israel terhadap kemasukan serta pengedaran bantuan kemanusiaan dan barangan komersial, perpindahan sebahagian besar penduduk dan kemusnahan infrastruktur awam yang penting.

“Tahap sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan bantuan ke Gaza, terus melakukan permusuhan, mungkin menyamai penggunaan kelaparan sebagai kaedah perang, yang merupakan jenayah perang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, ‘jam sedang berdetik’.

“Setiap orang, terutamanya mereka yang mempunyai pengaruh, mesti menegaskan bahawa Israel perlu bertindak untuk memudahkan kemasukan tanpa halangan dan pengagihan bantuan kemanusiaan dan barangan komersial yang diperlukan bagi menamatkan kelaparan dan mengelakkan semua risiko kebuluran,” tegas Turk.



Beliau juga menzahirkan kekecewaan, situasi itu langsung tidak dihiraukan.

“Loceng penggera yang dibunyikan sejak beberapa bulan lalu oleh PBB, termasuk pejabat saya, tidak diendahkan.

“Bencana ini adalah buatan manusia dan boleh dicegah sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakapnya, Jeremy Laurence berkata penentuan terakhir sama ada ‘kebuluran digunakan sebagai senjata perang’ akan ditentukan oleh mahkamah undang-undang.



“Penderitaan penduduk Gaza adalah tidak wajar,” katanya.

Komen itu dibuat selepas penilaian disokong PBB yang menentukan wilayah Palestin yang dilanda perang itu sedang menghadapi kebuluran.

Penilaian keselamatan makanan yang disokong PBB memberi amaran, sekitar 1.1 juta orang di wilayah itu mengalami ‘malapetaka’ kelaparan ,

Semalam, PBB berkata tanpa bantuan yang meningkat, situasai kebuluran akan melanda 300,000 penduduk di utara Gaza yang dilanda perang menjelang Mei ini.



Jurucakap agensi kemanusiaan PBB OCHA, Jens Laerke berkata kepada wartawan di Geneva, mereka bimbang tanpa tindakan seharusnya, ‘anda akan melihat lebih daripada 200 orang mati akibat kelaparan setiap hari’.- AFP

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button