Jamal Yunos gagal batal saman fitnah KJ
Oleh – Syeikh Baran
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman fitnah difailkan terhadapnya oleh bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung satu sidang media ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Perkara itu disahkan peguam Shakeel Saifuzzaman yang mewakili Khairy selepas prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr.Suzana Muhamad Said di Mahkamah Tinggi di sini.
Menurut peguam itu, defendan gagal membatalkan saman tersebut selepas mahkamah mendapati kes saman itu ada
isu yang perlu dibicarakan.
“Permohonan defendan (Jamal) untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif (Khairy) ditolak dengan kos dalam kausa. Tarikh 27 Mei ini ditetapkan untuk sebutan kes seterusnya,” katanya selepas prosiding menerusi aplikasi Zoom.
Khairy memfailkan writ saman pada 24 Mei 2023 melalui firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel dan menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am dan perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di akaun Facebook dan TikTok serta dalam akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, pada PAU 2022 yang diadakan 14 Januari tahun lalu, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO dan beberapa ahli serta pemimpin UMNO.
Pada hari sama, Khairy berkata, Jamal melalui akaun Facebook di bawah nama ‘DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ memuat naik rakaman video sidang video itu bertajuk ‘Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya’.
Katanya, Jamal juga memuat naik rakaman sama melalui akaun media sosial TikTok di bawah nama pengguna ‘jamal_yunos’.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau pemimpin yang tiada integriti, tiada kredibiliti memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.
Katanya, ia turut membawa maksud beliau melaksanakan dan menerapkan pendekatan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi dan tidak layak menjadi seorang pemimpin serta tidak setia kepada parti serta pemimpin parti.
Terdahulu mengikut notis permohonan yang difailkan defendan untuk bagi membatalkan saman itu yang difailkan pada 19 September 2023, atas alasan permohonan itu ialah kausa tindakan plaintif tidak jelas.
Selain itu, tuntutan plaintif terhadap defendan adalah mengaibkan, remeh atau menyusahkan, serta tuntutan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Sumber – KOSMO! ONLINE