Shuk Sahar sahkan nikahi Fara pada November lalu
Oleh Pena Merah
Pelawak dan pengacara sensasi, Shuk Sahar, 38, mendedah kebenaran dirinya yang kini sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihan, Fara Salleh pada November tahun lalu.
Shuk atau Mohammad Shukri Mohammed Sahar berkata, dia bagaimanapun mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ kerana berasakan belum masa untuk menguar-uarkan mengenai kisah perkahwinannya itu.
“Sejujurnya, apa yang keluar mengenai cerita perkahwinan saya itu adalah betul. Saya sudah berkahwin dengan isteri (Fara) pada November tahun lalu.
“Bukan saya sengaja mahu merahsiakan perkahwinan ini kerana keluarga dan rakan rapat pun sudah tahu, cuma saya menunggu masa yang sesuai,” katanya dalam satu temubual video podcast.
Shuk berkata, dia kini lebih selesa tidak terlalu menceritakan kehidupan peribadi dan kisah rumah tangganya dalam media sosial kerana khuatir ada segelintir pihak akan menyalahtafsirkan kenyataan dibuat.
“Sebelum ini, ada juga pihak media yang menghubungi saya untuk bertanya mengenai perihal perkahwinan saya dan isteri, tapi saya maklumkan tidak mahu memberi komen.
“Saya mohon maaf kepada media kerana sudah tidak mahu berkongsi mengenai kisah peribadi atas apa yang pernah dilalui dan saya perlukan masa sesuai untuk menjelaskan semuanya.
“Pengalaman banyak mengajar saya apabila dulu selalu berkongsi di media sosial dan terlalu terbuka hingga akhirnya saya yang menerima pelbagai kecaman netizen,” katanya.
Baru-baru ini, Fara juga ada mendedahkan dia sekarang berstatus isteri Shuk dan mereka sudah pun bernikah kira-kira empat bulan lalu, namun tiada majlis resepsi diadakan.
Difahamkan, wanita itu turut memberitahu dia sah bergelar isteri Shuk dengan sekali lafaz, namun tidak berkongsi mengenai perkahwinan mereka secara terperinci.
Terdahulu, Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh media sosial, Rossa Sera pada 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assiyfatu Aimi, 5.
Bagaimanapun, disebabkan kontroversi kecurangan yang terus menghambat Shuk, mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada 22 Mac tahun lalu selepas pulang dari Tanah Suci mengerjakan umrah bersama. – Berita Harian