Boleh jalan kaki rentas Sungai Golok
Oleh – Syeikh Baran
Paras air di beberapa kawasan di Sungai Golok, di sini cetek sehingga boleh dilalui dengan berjalan kaki untuk ke Thailand berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini sejak lebih seminggu lalu.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Chabang Tiga Bagus, di sini mendapati, cuaca panas ketika ini menyebabkan beting pasir mulai timbul.
Seorang penduduk, Asmawi Ibrahim, 44, berkata, keadaan air yang cetek itu membolehkan penduduk berjalan kaki untuk menyeberangi sungai tersebut ke Thailand.
Menurutnya, orang ramai bagaimanapun tidak boleh terus memasuki negara tersebut apabila pihak berkuasa Thailand dilihat sentiasa menjalankan kawalan dan operasi semasa paras air cetek.
“Situasi air di Sungai Golok yang cetek berlaku setiap tahun. Keadaan ini menjadi tarikan kepada orang luar untuk bermain air di kawasan sungai ini.
“Namun kali ini disebabkan bulan Ramadan, tiada yang turun ke sungai untuk bermain air. Kawasan ini merupakan tumpuan penduduk setempat untuk mencari etak,” katanya ditemui di Kampung Chabang Tiga Bagus, di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sudah Yusoff, 45, berkata, air Sungai Golok semakin cetek apabila cuaca panas berterusan sejak awal Ramadan ini.
“Penduduk kebiasaannya akan mengambil kesempatan untuk bermain dan mandi di tebing sungai semasa musim kemarau.
“Jika cuaca panas berterusan, mesti ramai yang datang ke sini semasa Aidilfitri nanti. Sudah pasti kawasan ini akan menjadi tumpuan perantau yang pulang ke kampung.
“Difahamkan, beberapa pangkalan haram di kawasan ini ditutup semasa musim kemarau. Jadi, mungkin kegiatan penyeludupan di sini berkurangan sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE