Murid perempuan kendong adik ke sekolah
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang pelajar perempuan menggendong adiknya ketika sedang belajar di sekolah, lapor akhbar Tribunnews kelmarin.
Dalam video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @kabarnegri pada Rabu lepas, seorang gadis berada di sekolah rendah dan sedang menulis menggunakan tangan sebelahnya.
Tangan sebelah lagi menggendong adiknya yang sedang tidur.
Bagaimanapun, proses pembelajaran kanak perempuan itu seolah-olah tidak terganggu biarpun harus menjaga si adik.
Video itu juga menunjukkan gambaran kehidupan harian dua beradik itu di sekolah.
Adiknya dilaporkan jarang tidur dan dia sering menunggu kakaknya di sebelah atau duduk di belakang.
Gadis itu merupakan pelajar sekolah rendah gred 2 di kawasan Kampung Barania, Daerah Sinjai Barat, Kabupaten Sinjai, Sulawesi Selatan.
Anak perempuan itu bernama Nuraeni, manakala adik lelakinya bernama Akbar.
Ketua kampung, Barania Firman berkata Nuraeni terpaksa membawa adiknya ke sekolah kerana ibunya telah meninggal dunia setahun yang lalu.
Selain itu, Akbar sentiasa menangis apabila berpisah dengan Nuraeni. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE