Dr Akmal terima ugutan bunuh
Oleh – Syeikh Baran
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh akan membuat laporan polis susulan menerima ugutan bunuh berhubung kelantangan beliau mengenai isu kalimah ALLAH.
Beliau berkata, telah dihubungi seorang individu yang menyuarakan kerisauan mengenai ugutan bunuh bahawa beliau akan ditembak mati suatu hari nanti sekiranya masih meneruskan kelantangan tentang isu itu.
Menurutnya, ketika itu beliau dalam perjalanan ke program rasminya dan laporan polis yang akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bertujuan untuk melindungi diri dan keluarganya.
“Insya-ALLAH petang ini saya juga akan buat laporan polis dan keluarga, dan saya takkan berganjak walaupun seinci dari pendirian saya ini.
“Kita ada ALLAH, insya-ALLAH saya serahkan kepada ALLAH dan juga pihak berkuasa untuk siasatan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok rasminya pada Selasa.
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah ALLAH dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ALLAH di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Oleh – SINAR HARIAN